Pearly Tan-M. Thinaah memastikan slot ke final Kumamoto Masters Jepun 2025 menjadi milik mereka selepas menundukkan wakil tuan rumah, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto di peringkat separuh akhir sebentar tadi.

Ia merupakan kemaraan ke pentas final kali ketujuh pada tahun ini buat pasangan ranking kedua dunia serta pilihan utama kejohanan itu.

Malah kejayaan itu adalah kemenangan kelima berturut-turut dicatatkan Pearly-Thinaah ke atas lawan tersebut.

Pentas Final Jadi Miliki Pearly-Thinaah

Berdepan lawan berpengalaman yang menghuni ranking keenam dunia, tugas sukar dilihat dihadapi oleh pasangan negara itu.

Malah, kemenangan penting dilakarkan itu tidak hadir dengan mudah apabila Pearly dan Thinaah sempat ketinggalan 17-20 pada set pertama.

Ketenangan bagaimanapun menjadi kunci kepada kejayaan mereka untuk menang set pertama dengan jurang 24-22.

Set kedua pula memperlihatkan keyakinan tinggi dijelmakan anak buah Rosman Razak itu yang meninggalkan lawan dengan jauh 11-5 serta 20-13.

Namun, Fukushima-Matsumoto enggan melihat wakil negara itu menang dengan mudah apabila mereka bangkit dengan meraih satu demi satu mata untuk mengikat kedudukan 20-20.

Tuah nyata menyebelahi Pearly Tan-M. Thinaah yang berjaya menamatkan permainan dengan kemenangan 23-21 sekali gus menemapah pertemuan final dengan satu lagi wakil Jepun, Rin Iwanaga-Kei Nakanishi.

Mereka layak ke final selepas menundukkan pasangan dari Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong dalam aksi ‘straight set’ 21-16, 21-11.

Sementara itu satu lagi pasangan Malaysia iaitu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pula gagal ke final selepas tewas kepada Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita 21-21, 17-21.