Pearly Tan-M. Thinaah memastikan kejuaraan Kumamoto Masters Jepun 2025 menjadi milik mereka selepas menumpaskan pasangan tuan rumah, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam aksi final sebentar tadi.
Kejuaraan Ketiga Buat Pearly-Thinaah
Kejayaan manis dikecapi itu merupakan gelaran juara kali ketiga diraih oleh pasangan ranking kedua dunia itu dimana sebelum ini mereka menjuarai Terbuka Thailand dan Terbuka Arctic di Finland.
Malah lebih manis ia turut melebarkan rekod kemenangan Pearly dan Thinaah ke atas lawan dari Jepun itu kepada 7-2.
Kemenangan tersebut bagaimanapun tidak dikecapi dengan mudah apabila Pearly-Thinaah bermula dengan aksi longlai.
Ia jelas dapat disaksikan apabila mereka ketinggalan 1-8 dan 5-11 pada permulaan permainan set pertama.
Namun, mereka tenang dalam menyerap tekanan untuk kembali memberikan saingan serta mendapatkan mata demi mata bagi merapatkan jurang mata.
Ketika wakil negara sudah mengikat kedudukan 17-17, beberapa kesilapan membuatkan mereka ketinggalan 17-20 untuk pasangan tuan rumah semakin hampir untuk memenangi set pertama.
Keadaan tersebut membuatkan mental Pearly dan Thinaah sekali lagi teruji dan mereka tampil dengan lebih berdisiplin untuk mengikat kedudukan dan kemudiannya memenangi set pertama dengan 22-20.
Skrip sama berulang pada peringkat awal permainan apabila mereka ketinggalan 1-5 tetapi segera bangkit walaupun ketinggalan 9-11 pada rehat ‘interval’.
Pearly Tan-M. Thinaah terus garang untuk bangkit dan berjaya mendahului lawan dengan kelebihan 17-14 dan kemudiannya cuba diberikan saingan pada saat akhir.
Tetapi fokus 100 peratus membolehkan anak buah Rosman Razak itu mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan 21-19.
Dengan kejayaan tersebut, pasangan negara itu membawa pulang hadiah wang tunai bernilai $37,525 (RM155,078.46).