Industri hiburan tanah air berduka apabila pelakon veteran Kamarool Haji Yusoff atau lebih dikenali sebagai Farok dan Cik Man dilaporkan telah meninggal dunia.
Berita pemergian Allahyarham disampaikan oleh pelawak Amir Raja Lawak menerusi perkongsian di media sosial.
Sebelum ini, Kamarool yang juga dikenali sebagai Cik Man dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tanah Merah dipercayai akibat masalah kesihatan berkaitan jantung.
Menerusi perkongsian tersebut, Amir Raja Lawak meluahkan rasa sedih atas kehilangan seorang seniman yang banyak berjasa dalam dunia hiburan.
Amir menulis: “Perginya seorang seniman.
“Innalillahiwainnailaihirojiun.
“Dimaklumkan, Kamarool Haji Yusoff atau lebih dikenali sebagai Farok dan juga Cik Man, baharu sahaja meninggalkan kita semua.

“Semoga arwah Abg Kamarool ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman, beramal soleh, solehah dan ahli syurga. Aamiin ya rabbal alamin.
“Al-Fatihah, aamiin. Salam takziah buat keluarga arwah Abg Kamarool,” tulis Amir.
Pemergian Allahyarham Kamarool Yusoff pastinya meninggalkan kesan mendalam buat keluarga, rakan-rakan artis serta peminat yang membesar dengan karya-karya beliau.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan yang beriman.