Pelakon veteran Kamarool Yusof atau lebih dikenali sebagai Cik Man dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tanah Merah akibat dipercayai mengalami saluran jantung tersumbat.

Perkembangan mengenai keadaan pelakon yang pernah mencuri perhatian menerusi watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja itu dikongsikan oleh pelawak Amir Raja Lawak menerusi satu hantaran di Facebook pada hari ini.

Menurut Amir, Kamarool dimasukkan ke hospital sekitar tengah malam semalam sebelum doktor mengambil keputusan untuk menidurkannya bagi membolehkan rawatan dijalankan.

Amir menulis di Facebooknya:

“Assalamualaikum

“Dimaklumkan, Cik Man telah dimasukkan ke hospital Tanah Merah tengah malam semalam”

“Keadaan beliau terkini kritikal kerana saluran jantung tersumbat, dan kini telah ditidurkan untuk untuk beliau rehat dan doktor lakukan rawatan

Dalam masa sama, Amir turut memohon orang ramai mendoakan agar segala urusan rawatan dipermudahkan dan Kamarool kembali sembuh seperti sediakala.

“Didoakan Allah permudahkan urusan rawatan Cik Man dengan baik-baik sahaja, semoga Cik Man cepat sembuh, pulih sihat seperti sediakala, aamiin ya mujib ya rabbal alamin,” tulis Amir lagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa buat masa ini, pelawat masih belum dibenarkan melawat Kamarool di hospital dan sebarang perkembangan terkini akan dikongsikan dari semasa ke semasa.

Ramai rakan artis serta peminat turut membanjiri ruangan komen dengan ucapan dan doa agar pelakon veteran itu diberikan kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan rawatannya.