Kini kita kurang daripada seminggu lagi sebelum bermulanya Piala Dunia 2026, dengan pasukan-pasukan sedang membuat persiapan terakhir menjelang sepak mula kejohanan besar itu di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada pada hari Khamis nanti.

Ini merupakan Piala Dunia terbesar dalam sejarah, dengan 48 pasukan berjaya melayakkan diri, yang bermakna terdapat ramai pemain yang akan membuat penampilan pertama mereka di pentas bola sepak dunia.

Antara pemain yang bakal membuat penampilan sulung itu termasuk beberapa bintang bola sepak paling terkenal di dunia.

Walaupun ada yang belum pernah beraksi di Piala Dunia sebelum ini kerana faktor usia, terdapat juga beberapa pemain ternama yang terpaksa menunggu lama sebelum akhirnya mendapat peluang untuk beraksi di acara sukan paling berprestij yang ditawarkan dunia.

Jadi, siapakah pemain-pemain yang bakal membuat penampilan sulung yang tidak sabar untuk kita saksikan aksinya?

Penampilan Sulung Pemain Bintang Di Piala Dunia 2026

1) Erling Haaland (Norway)

Walaupun tidak pernah layak ke Piala Dunia sejak 1998, Norway dilihat oleh ramai sebagai pasukan “kuda hitam” kejohanan ini memandangkan barisan pemain mereka yang sarat dengan bintang.

Martin Odegaard, Antonio Nusa dan Alexander Sorloth merupakan antara nama besar yang bakal membuat penampilan sulung di Piala Dunia, namun tidak syak lagi bahawa Erling Haaland yang akan menjadi tumpuan utama setiap kali mereka melangkah ke padang.

2) Lamine Yamal (Sepanyol)

Lamine Yamal ialah harapan besar seterusnya bola sepak Sepanyol. Sudah pun bergelar bintang bertaraf dunia, beliau memiliki kemahiran menggelecek yang luar biasa dan sentuhan magis di kakinya, seperti yang dibuktikan menerusi aksi memukau bersama Barcelona sejak membuat penampilan sulung pada usia 15 tahun.

Yamal benar-benar menyerlah di Euro 2024 apabila menjaringkan satu gol sensasi termasuk dalam perlawanan separuh akhir menentang Perancis serta mencipta empat bantuan gol ketika Sepanyol mara hingga muncul juara kejohanan tersebut.

3) Florian Wirtz (Jerman)

Florian Wirtz merupakan salah satu perpindahan terbesar pada musim panas lalu apabila beliau menyertai Liverpool dalam satu urus niaga bernilai sehingga melebihi £116 juta. Namun, musim sulungnya di Liga Perdana Inggeris tidak berjalan semudah yang diharapkan.

Justeru, Wirtz pastinya berharap dapat menikmati pengalaman pertama yang lebih manis di Piala Dunia. Beliau terlepas peluang beraksi di edisi 2022 selepas mengalami kecederaan serius ligamen anterior cruciate (ACL) yang koyak dan sedang dalam proses pemulihan ketika itu.

4) Luis Diaz (Colombia)

Luis Diaz telah menyerlah bersama Liverpool dan juga Bayern Munich dalam beberapa musim kebelakangan ini. Namun, persembahannya bersama Bayern musim lalu.

Apabila beliau membentuk gandingan yang cukup mantap bersama Harry Kane dan Michael Olise sebagai sebahagian daripada jentera serangan paling berbisa di Eropah, boleh dianggap yang terbaik dalam kerjayanya setakat ini.

Pada usia 29 tahun, agak mengejutkan apabila Diaz masih belum pernah mewakili negaranya di pentas Piala Dunia.

Hal ini kerana Colombia gagal melayakkan diri ke kejohanan tersebut pada 2022, manakala ketika edisi 2018 berlangsung, Diaz baru sahaja mula mencipta nama bersama Junior FC di tanah airnya.

5) Michael Olise (Perancis)

Rakan sepasukan Diaz di Bayern Munich, Michael Olise juga bakal beraksi dalam Piala Dunia pertamanya selepas mengharungi musim yang meletakkannya dalam kelompok calon utama untuk anugerah Ballon d’Or.

Pemain sayap Perancis itu menjaringkan 25 gol serta mencipta 28 bantuan gol sepanjang musim, sekali gus memainkan peranan penting dalam kejayaan Bayern.

6) Joao Neves (Portugal)

Joao Neves telah berkembang menjadi salah seorang pemain tengah paling menonjol di Eropah sejak menyertai Paris Saint-Germain (PSG) pada musim panas 2024.

Pada usia hanya 21 tahun, beliau sudah berjaya memenangi Liga Juara-Juara Eropah sebanyak dua kali, satu pencapaian luar biasa bagi pemain semuda dirinya.

7) Nico Paz (Argentina)

Nico Paz telah muncul sebagai salah seorang pemain tengah kreatif paling menjadi rebutan di Eropah hasil perkembangan pesatnya di bawah bimbingan Cesc Fabregas di Como.

Kini, Argentina berharap Paz mampu membawa kecemerlangan di peringkat kelab ke pentas Piala Dunia pertamanya.

Sebagai juara bertahan, Argentina berusaha mengelilingi Lionel Messi dengan pemain-pemain terbaik yang ada dan memburu sejarah dengan memenangi dua Piala Dunia berturut-turut buat kali pertama dalam sejarah negara itu.

8) Arda Guler (Turkiye)

Arda Guler benar-benar menyerlah di Euro 2024 apabila memainkan peranan penting dalam perjalanan Turkiye ke suku akhir kejohanan tersebut.

Beliau menjaringkan gol menarik ketika menentang Georgia, sebelum mencipta bantuan gol menentang Austria dan juga Belanda.

Jika pencapaian itu menjadi petanda awal kebolehannya sebagai pemain kejohanan besar, maka Guler yang kini berusia 21 tahun berpotensi untuk benar-benar mencuri perhatian di pentas Piala Dunia.