Tiga wakil Malaysia meneruskan aksi cemerlang mereka untuk melangkah ke final kejohanan badminton Indonesia Masters 2026.
Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempamerkan aksi cemerlang untuk menewaskan pasangan ranking kedua dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dalam aksi ‘straight set’ 21-17, 21-12.
Kejayaan itu turut menebus kekecewaan pasangan negara itu ketika berhadapan dengan Zhen Bang-Ya Xin yang menang dua aksi berturut-turut sebelum ini.
Menanti mereka di pentas final esok ialah gandingan Denmark, Mathias Cristiansen-Alexandra Boje yang menundukkan pasangan tuan rumah, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu dalam satu lagi separuh akhir.
Wakil Malaysia Cemerlang Di Jakarta
Juara dunia 2025 itu tidak bersendirian selepas Pearly Tan-M. Thinaah turut tampil garang untuk menewaskan gandingan Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Apriyani Rahayu 21-15, 21-9.
Kecemerlangan kem Malaysia itu diteruskan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang menewaskan Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark 21-9, 21-15.
Pearly-Thinaah akan berhadapan dengan wakil Jepun, Arisa Igarashi-Miyu Takahashi dan Sze Fei-Nur Izzudin pula bakal menghadapi cabaran pasangan semakin meningkat naik Indonesia, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin.
Saingan Indonesia Masters 2026 merupakan kejohanan berstatus Super 500 dalam kalendar Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF).