Kejohanan badminton Indonesia Masters 2026 memasuki hari kedua hari ini dengan baki aksi dalam pusingan pertama bakal dihadapi pemain.
Aksi hari pertama semalam menyaksikan kejutan dialami pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan utama kejohanan.
Selepas beraksi di pentas final Terbuka Malaysia dan separuh akhir Terbuka India tempoh hari, pasangan yang berada di ranking kedua dunia itu tidak dapat meneruskan rentak cemerlang.
Pemain Pilihan Tersingkir Di Hari Pertama Indonesia Masters 2026
Aaron-Wooi Yik ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dalam aksi tiga set 22-20, 19-21, 16-21.
Nasib sama turut dialami pilihan keenam kejohanan, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang tewas kepada gandingan China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi 16-21, 26-28.
Pilihan kedua, ketiga dan kelapan dalam sektor beregu wanita juga turut mengalami kejutan di Istora Senayan.
Hsu Yin-Hui-Lin Jhih Yun dari Chinese Taipei tewas kepada wakil Thailand, Hathaithip Mijad-Napapakorn Tungkasatan 21-13, 15-21.
Manakala rakan senegara mereka, Chang Ching Hui-Yang Ching Tun dihampakan oleh Fan Ka Yan-Yau Mau Ying dari Hong Kong 17-21, 21-16, 15-21.
Bao Li Jing-Li Yi Jing dari China pula tewas kepada pasangan tuan rumah, Lanny Tria Mayasari-Apriyani Rahayu 14-21, 13-21.
Indonesia Masters 2026 merupakan kejohanan dalam kalendar Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) yang berstatus Super 500.