Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Rabu telah mengenakan hukuman gantung sebanyak lima perlawanan terhadap pemain tengah Qatar, Assim Madibo.

Hukuman berat itu dijatuhkan susulan terjahan keras beliau yang mengakibatkan pemain tengah Kanada, Ismaël Koné, mengalami patah kaki dalam aksi Piala Dunia baru-baru ini, petik ESPN.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Vancouver pada Khamis minggu lalu, Madibo telah dilayangkan kad merah secara terus ekoran insiden tersebut, menyaksikan Kanada mencatatkan kemenangan besar 6-0 ke atas Qatar.

Kecederaan Serius Cetus Kebimbangan

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa disiplin FIFA, penggantungan tersebut dikuatkuasakan atas kesalahan salah laku kekasaran yang serius (serious foul play). Walau bagaimanapun, keputusan berkenaan masih tertakluk kepada proses rayuan.

Kemenangan bersejarah Kanada dalam kempen Piala Dunia kali ini nyata dibayangi oleh insiden tragis yang menimpa Koné. Pemain tersebut terpaksa diusung keluar dari padang sebelum dikejarkan ke hospital bagi menjalani pembedahan akibat patah tulang tibia dan fibula pada kaki kirinya.

Insiden tersebut berlaku pada minit ke-51 apabila Koné diterjah dari arah belakang. Para pemain yang berada di kawasan berhampiran dilaporkan berada dalam keadaan cemas dan bimbang selepas melihat Koné terbaring di atas padang sambil memegang kakinya dalam kesakitan.

Permohonan Maaf Daripada Pelaku

Madibo, yang kelihatan amat kesal dengan tindakan tersebut, dilaporkan telah menemui Koné secara peribadi selepas tamat perlawanan bagi memohon maaf atas kekasaran yang dilakukan.

Melalui satu hantaran di akaun Instagram miliknya, Koné menzahirkan rasa penghargaan kepada orang ramai yang mendoakan kesembuhannya:

“Anda tidak dapat membayangkan betapa bersyukurnya saya kepada semua pihak yang telah menghubungi dan mendoakan saya dalam doa mereka.”

Setakat ini, pihak persatuan bola sepak kebangsaan Qatar masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi berhubung hukuman yang dikenakan terhadap pemain mereka apabila dihubungi oleh agensi berita The Associated Press.

Rekod Penggantungan Terlama FIFA

Hukuman gantung lima perlawanan yang diterima Madibo bukanlah tindakan paling tegas pernah diambil oleh FIFA dalam sejarah kejohanan dunia.

Sebelum ini, penyerang Uruguay, Luis Suárez, pernah dikenakan hukuman gantung sebanyak sembilan perlawanan serta larangan daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak selama empat bulan selepas didapati bersalah menggigit pertahanan Itali, Giorgio Chiellini, pada Piala Dunia 2014 di Brazil.

Selain itu, pada temasya tahun 1994, pemain pertahanan Itali, Mauro Tassotti, turut pernah digantung sebanyak lapan perlawanan selepas mengasari penyerang Sepanyol, Luis Enrique, dengan menggunakan siku.

Dalam perkembangan berasingan, kempen Qatar dalam saingan Piala Dunia kali ini disahkan berakhir selepas pasukan itu tersingkir rasmi berikutan kekalahan kepada Bosnia-Herzegovina pada Rabu.

Sumber