Tahap sebenar insiden keselamatan yang menggemparkan kem Piala Dunia England kini telah didedahkan.
Ia berikutan dua lelaki secara rasmi telah didakwa berhubung kecurian peralatan bernilai £13,500.
Pendakwa raya di Daerah Jackson mengenal pasti kedua-dua suspek sebagai pemandu syarikat pengangkutan yang bertanggungjawab memindahkan peralatan skuad England di seluruh Amerika Syarikat.
Pihak berkuasa di negeri Missouri bertindak pantas susulan insiden pelanggaran keselamatan mengejutkan yang mengancam persiapan Piala Dunia skuad kendalian Thomas Tuchel itu.
Menurut sumber laporan Goal, dua individu dimaksudkan ialah Mustafa Salik dan Erfan Kamal yang masing-masing telah didakwa atas kesalahan menerima harta curi, iaitu satu jenayah feloni Kelas D, selepas sebuah kenderaan pengangkutan menjadi sasaran ketika membawa peralatan dari Florida ke Kansas City.
Pencuri Barangan Skuad England Dikenalpasti
Difahamkan kedua-dua lelaki itu merupakan pemandu bagi syarikat pengangkutan yang ditugaskan membawa peralatan skuad Three Lions tersebut.
Pendakwa Raya Daerah Jackson, Melesa Johnson mengesahkan tindakan undang-undang itu dengan berkata:
“Daerah Jackson tidak akan bertolak ansur dengan sebarang aktiviti jenayah yang menyasarkan pengunjung Piala Dunia, termasuk pasukan antarabangsa yang datang ke sini untuk bertanding.”
“Kami berterima kasih kepada Jabatan Polis Kansas City dan peguam bertugas kami atas tindakan pantas mereka dalam menyiasat insiden ini serta memfailkan pertuduhan dengan segera.”
“Pejabat kami komited untuk memastikan individu-individu ini dipertanggungjawabkan.”
Skala kecurian itu pada mulanya mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya masalah logistik yang serius, dengan but perlawanan milik bintang ternama England, Harry Kane dan Jude Bellingham, dilaporkan antara barangan yang hilang.
Namun, menurut Goal lagi, dokumen mahkamah kemudiannya menjelaskan senarai penuh barang yang dicuri bernilai AS$18,000 (£13,500).
Senarai barangan tersebut termasuk: tiga jersi bertandatangan bernilai AS$5,000 setiap satu, empat pasang but bola, lima pasang kasut, sebiji bola rasmi Piala Dunia.
Selain itu, pelbagai peralatan latihan termasuk sarung tangan penjaga gol, baju dan seluar pendek berwarna biru laut turut dilarikan dua pencuri itu.
Dalam satu perkembangan yang agak pelik, pencuri turut melarikan dua patung singa yang menjadi maskot tradisi skuad England, selain satu set Lego berbentuk kasut Nike Air dan sebuah pembesar suara JBL.
Bagaimanapun, difahamkan bahawa sebahagian besar barangan yang dicuri kini telah berjaya ditemui semula dan dipulangkan ke kem latihan pasukan di Swope Soccer Village.