Pengarah sukan Bayern Munich, Max Eberl mengakui bahawa beliau telah mendapatkan pandangan Pep Guardiola sebelum melantik Vincent Kompany sebagai ketua jurulatih kelab itu.

Walaupun pada awalnya terdapat keraguan terhadap pelantikannya dari Burnley yang tersingkir, jurulatih dari Belgium itu telah membuktikan kemampuannya dengan membawa kejayaan kejuaraan Bundesliga berturut-turut serta kemajuan dalam UEFA Champions League (UCL).

Eberl mengakui bahawa laluan untuk melantik Kompany pada tahun 2024 bukanlah sesuatu yang mudah dan mendedahkan bahawa kelab itu telah mendapatkan rujukan watak daripada bekas pengurus mereka, Guardiola.

Kompany pada ketika itu baru sahaja melalui musim yang sukar dalam English Premier League (EPL) yang berakhir dengan penyingkiran bersama Burnley, sekali gus menimbulkan keraguan dalam kalangan pihak dalaman di Allianz Arena.

Guardiola Main Peranan Bawa Kompany Ke Bayern Munich

Eberl menjelaskan detik penting yang memastikan jurulatih berusia 40 tahun itu mendapat jawatan tersebut.

“Apabila timbul persoalan sama ada kami benar-benar pasti, saya berkata kepada Kalle [Karl-Heinz Rummenigge, bekas pengerusi Bayern Munich]: ‘Kalle, kamu begitu rapat dengan Pep, bukan? Hubungi dia dan tanya apa pendapatnya tentang Kompany.’ Itulah titik perubahan,” kata Eberl menurut sumber laporan Goal.

“Saya merasakan pada awalnya memang ada beberapa tanda tanya dan rasa terkejut apabila saya mengemukakan nama [Kompany].”

“Sudah tentu, kami telah menerima beberapa penolakan sebelum itu. Bukan rahsia bahawa Julian Nagelsmann adalah satu kemungkinan, kami berbincang dengan Ralf Rangnick, kami juga berbincang dengan Oliver Glasner. Ada juga yang mahu Hansi Flick kembali.”

“Tidak perlu kita berselindung tentang perkara itu. Seperti yang saya katakan sebelum ini Vincent Kompany memang sudah pun berada dalam senarai kami. Tetapi sejujurnya  dan saya benar-benar berterus terang tentang hal ini, saya tidak berani mencadangkan Vincent Kompany sebagai pilihan pertama.

“Sebaliknya, kami terlebih dahulu mendekati jurulatih-jurulatih ternama yang sudah mempunyai nama dan reputasi,” tambah beliau lagi.

Sumber