Penggiat futsal tanah air meluahkan kekecewaan kerana sukan lima sebelah itu masih belum ada kejohanan yang ‘diiktiraf’ bagi peringkat sekolah.
Kekecewaan itu diluahkan penggiat futsal dalam satu hantaran yang dikeluarkan oleh jurulatih yang sudah hampir 30 tahun berkecimpung iaitu Qusmaini Noor Rusli.
Baca Juga:
- Muhammad Osamanmusa Jadi Pemain ASEAN Pertama Jaringkan Gol Dalam UEFA Futsal Champions League
- Elak Konflik Kepentingan Dalam Federasi Futsal Indonesia, Atta Halilintar Umum Kelabnya Tarik Diri Daripada Liga Pro
- Ini Lima Langkah Utama Untuk Meningkatkan Prestasi Futsal Malaysia Di Peringkat Antarabangsa
Daripada hantaran itu, dapat disaksikan ramai penggiat futsal yang lain turut menyokong pendapat jurulatih pasukan Liga Profesional Indonesia, Rafhely FC itu.
Walaupun sudah mempunyai pertandingan berprestij seperti Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), Liga Institut Pengajian Tinggi (IPT), Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) dan sudah empat kali dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) tetapi masih belum ada kejohanan futsal di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
Jika di peringkat MSSM sudah tiada, apatah lagi untuk melihatnya dalam saingan MSS Daerah mahu pun MSS Negeri.
Malah, Kejohanan bagi Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) juga diadakan setiap tahun.
Ramai berpendapat dengan ketiadaan pendedahan di bangku persekolahan, ia merencatkan pembangunan futsal yang dilihat medium terbaik seperti dipraktikkan di Thailand dan Indonesia.
Dua negara kuasa besar futsal Asia Tenggara itu begitu menitik beratkan pendedahan di peringkat sekolah.
Malah, pertandingan futsal peringkat sekolah di kedua-dua negara mendapat publisiti meluas hingga terdapat siaran langsung perlawanan melibatkan bakat-bakat mudah tersebut.
Seperti dilaporkan sebelum ini, kefahaman terhadap futsal sudah mula diterapkan kepada pelajar sekolah di Thailand berkaitan cara bermain dengan betul, memahami peraturan serta undang-undang sukan lima sebelah tersebut.
Pertandingan di peringkat sekolah [Liga Sekolah Menengah Kebangsaan] juga diadakan dengan cukup rapi dan kompetitif bagi mempersiapkan pemain yang lebih bersedia menghadapi tahap seterusnya.
Hakikat yang nyata cukup berbeza dengan Malaysia dimana kita dapat melihat kebergantungan penuh kepada MPFL dan kerja keras wakil-wakil IPT sahaja.
Sayang sekali kerana prestasi terkini skuad futsal negara sedikit hambar kerana kekurangan bakat baharu untuk menggantikan pemain sedia ada.
Malang sekali buat Malaysia yang beberapa kali berjaya melayakkan diri ke Kejuaraan Futsal AFC sekiranya asas di peringkat sekolah tidak diambil berat.
Kesimpulannya, pembangunan futsal di Malaysia masih memerlukan perhatian serius, terutamanya di peringkat sekolah.
Ketiadaan kejohanan futsal yang diiktiraf dalam MSSM menghalang pengenalan sukan ini secara meluas kepada generasi muda, yang sepatutnya menjadi asas kepada kejayaan masa depan futsal tanah air.
Thailand dan Indonesia telah menunjukkan betapa pentingnya pendedahan futsal di peringkat sekolah bagi melahirkan bakat-bakat baru yang dapat meneruskan legasi futsal mereka di peringkat antarabangsa.
Malah, ada negara kuasa besar dunia turut mengiktiraf futsal adalah salah satu elemen penting dalam pembentukan pemain bola sepak di usia muda.
Jika Malaysia mahu bersaing dengan kuasa futsal Asia Tenggara dan Asia, usaha untuk memperkenalkan dan memartabatkan futsal di sekolah-sekolah perlu dimulakan dengan segera, supaya futsal negara tidak ketinggalan dalam pembangunan dan pencapaian pada masa hadapan.