Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), pengendali DuitNow QR mengesahkan pengguna aplikasi itu akan dikenakan caj transaksi bermula 1 November ini.
Menurut syarikat itu, caj kadar diskaun pedagang atau ‘merchant discount rate (MDR)’ dikecualikan ketika tempoh pengenalan aplikasi DuitNow QR pada 2019, bagi menggalakkan penggunaannya, petik laporan Free Malaysia Today.
Baca Juga:
- Pengguna Maybank Berpeluang Bayar Menggunakan QR Di Singapura, Thailand Dan Indonesia
- BNM Lancarkan Jalinan Pembayaran Kod QR Rentas Sempadan Antara Malaysia Dan Singapura
- Rakyat Indonesia Sudah Boleh Menggunakan Rupiah Di Malaysia
Syarikat itu turut menjangkakan harga barangan dan perkhidmatan tidak akan terkesan menerusi pembelian menggunakan DuitNow QR selepas MDR dikenakan.
“Pada masa ini pembayaran kad debit dan kredit dikenakan MDR manakala terdapat penepian (‘waiver’) MDR pada pembayaran QR.
“Ia bukanlah suatu yuran baharu mahupun caj tambahan. Sebaliknya, 1 November adalah permulaan kepada penamatan penepian MDR yang sepatutnya dilakukan lebih 9 bulan lalu,” menurut PayNet dalam satu kenyataan.
Berkaitan kebimbangan bahawa kos MDR akan dipindahkan kepada pengguna, PayNet menjelaskan pembelian menggunakan kad kredit dan debit sudahpun tertakluk kepada MDR.
“Produk dan perkhidmatan yang dibeli dengan kad kredit atau debit adalah pada harga sama dengan pembelian tunai.
“Oleh itu, kami tidak menjangkakan harga barangan dan perkhidmatan akan terjejas oleh pembelian menggunakan DuitNow QR selepas MDR dikenakan,” kata syarikat itu.
PayNet berkata, dana rizab bakal diwujudkan menerusi MDR yang dikutip untuk memberi insentif kepada pemeroleh supaya tidak mengenakan sebarang MDR kepada peniaga kecil.
“Walaupun PayNet tidak berada dalam kedudukan untuk menentukan harga pasaran yang dikenakan kepada peniaga, beberapa bank pemeroleh dan pemeroleh pihak ketiga berhasrat untuk sama ada terus menangguhkan pengenaan MDR atau menyerapnya untuk peniaga kecil.
“Dalam hal ini, peniaga perlu menyemak dengan bank atau pemeroleh pihak ketiga mereka untuk perkara ini.”