Atletico Madrid mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas seteru senegara, Barcelona dalam aksi suku akhir UEFA Champions League (UCL 2025/26) awal pagi tadi.
Keputusan aksi di Nou Camp itu boleh menjadi kelebihan besar buat mereka untuk mara ke pusingan seterusnya.
Dua gol pasukan dari ibu negara Sepanyol itu dijaringkan oleh Julian Alvarez dan pemain gantian, Alexander Sorloth.
Barcelona berusaha keras untuk mencari jaringan sepanjang perlawanan dan mencipta beberapa peluang terbaik, namun gagal menyempurnakannya, manakala pelawat pula lebih klinikal dalam memanfaatkan peluang.
Barcelona Kecewa Di Laman Sendiri
Atletico mendahului 1-0 pada separuh masa pertama aksi pertama mereka di Camp Nou hasil sepakan percuma menarik daripada Alvarez.
Penyerang Argentina itu memenangi sepakan percuma tersebut selepas dikasari lewat babak pertama oleh pertahanan muda, Pau Cubarsi.
Pengadil perlawanan, Istvan Kovacs, pada awalnya hanya melayangkan kad kuning kepada pemain Barcelona itu sejurus kesalahan dilakukan.

Diego Simeone bersama pemain dan bangku simpanan Atletico jelas terkejut dengan keputusan tersebut dan membantah, sebelum pengadil dipanggil untuk melihat semula insiden di monitor tepi padang.
Keputusan itu kemudian bertukar kepada kad merah, menjadikannya kad merah ketiga yang dilayangkan Kovacs dalam kempen UCL musim ini.
Susulan keputusan itu dan penggantungan Cubarsi, pemain Barcelona tersebut mencipta rekod yang tidak diingini dalam kempen UCL.
Cubarsi kini menjadi pemain pertama dalam sejarah kejohanan itu yang dibuang padang dua kali ketika masih remaja (19 tahun), selepas turut menerima kad merah ketika menentang Chelsea FC sebelum ini.
Barcelona kini terpaksa beraksi tanpa pemain pertahanan itu untuk aksi timbal balik di Madrid, sesuatu yang boleh memberi kesan besar memandangkan beliau merupakan tonggak penting dalam pasukan kendalian Hansi Flick musim ini.
Skuad Catalan kini berdepan tugas sukar apabila bertandang ke Madrid minggu hadapan, namun kemenangan 2-1 mereka pada aksi LaLiga hujung minggu lalu sedikit sebanyak memberi keyakinan bahawa mereka masih mampu bangkit.