Malaysia dan Indonesia bakal berentap dalam saingan Piala ASEAN FIFA 2026 selepas dua negara berseteru kancah bola sepak itu telah diundi berada dalam satu kumpulan.

Menurut sumber dikeluarkan laman Facebook Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF), Malaysia dan Indonesia telah diletakkan dalam satu kumpulan bersama-sama Singapura serta India di kumpulan A.

Sementara itu, kumpulan B pula terdiri daripada Vietnam, Thailand, Filipina dan Pakistan.

Mencari Juara Sulung Piala ASEAN FIFA 2026

Difahamkan Indonesia bakal menjadi tuan rumah bagi saingan divisyen 1 kejohanan yang julung kali diadakan itu. Manakala Hong Kong, China bakal menjadi tuan rumah kempen divisyen 2.

Kumpulan A bagi saingan divisyen 1 menyaksikan Hong Kong diundi bersama-sama Myanmar dan Brunei dan kumpulan B memperlihatkan persaingan antara Kemboja, Laos dan Timor-Leste.

Kedua-dua kejohanan itu akan menggunakan format liga satu pusingan dengan juara kumpulan akan mara ke perlawanan akhir, manakala pasukan yang menamatkan saingan di tempat kedua akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

Piala ASEAN FIFA 2026 dijadualkan berlangsung dalam tempoh rehat antarabangsa yang dilanjutkan pada September dan Oktober.

Penganjuran kejohanan ini diumumkan sendiri oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino yang ketika itu berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Infantino menyifatkan kejohanan ini sebagai suntikan semangat baharu untuk bola sepak ASEAN serta simbol penyatuan seluruh rantau di bawah satu bendera menerusi bola sepak.