Tonggak pertahanan negara, Dion Cools menjelaskan beliau dan rakan sepasukan tidak akan memberi laluan mudah kepada jentera serangan Korea Selatan pada aksi terakhir peringkat kumpulan E Piala Asia 2023 esok.
Walaupun tidak layak ke pusingan 16 Piala Asia 2023, skuad Harimau Malaya tekad pamer aksi yang lebih baik berbanding ketika menentang Jordan dan Bahrain.
Baca Juga:
- Bapa Son Heung-min Tidak Yakin Korea Selatan Mampu Menjuarai Piala Asia 2023
- Harimau Malaya Tarik Perhatian Bekas Kapten Korea Selatan
- Nama Kim Pan Gon Dan Harimau Malaya ‘Viral’ Di Korea Selatan
“Memang tidak bagus apabila kami tak layak ke pusingan 16 tetapi kami teruja menghadapi perlawanan esok.
“Sebagai pemain, ini adalah perlawanan yang anda mahu beraksi (menentang gergasi Asia, Korea Selatan). Kami semua cukup bermotivasi untuk pamerkan aksi terbaik dan ianya bagus untuk mendapatkan pengalaman, mana tahu kami boleh belajar sesuatu dari situ.
“Kami sedar kualiti pemain Korea Selatan termasuk barisan bintang mereka. Kami akan bertahan sebagai satu pasukan. Ini adalah permainan bola sepak dan kami akan menyokong antara satu sama lain,” jelas Cools ketika sidang media.
Korea Selatan yang kini berada di kedudukan kedua kumpulan E memerlukan kemenangan besar ke atas Malaysia untuk mara ke pusingan 16 selaku juara Kumpulan.
Mereka dijangka akan menurunkan barisan terkuat yang terdiri daripada bintang Tottenham Hotspurs, Son Heung Min, pemain PSG, Lee Kang In dan pertahanan Bayern Munich, Kim Min Jae.
Keadaan itu meletakkan Harimau Malaya dalam situasi sukar untuk sekurang-kurangnya mengelak daripada menutup kempen Piala Asia 2023 dengan tangan kosong.