Ketua jurulatih skuad kebangsaan Jepun, Hajime Moriyasu mengakui Vietnam merupakan lawan yang kuat perlu dihadapi anak buahnya dalam Piala Asia 2023.

Kerisauan Moriyasu itu ada asasnya kerana aksi terakhir melibatkan kedua-dua pasukan pada 29 Mac 2022 juga berakhir dengan terikat 1-1 di Saitama, Jepun.

Baca Juga:

Selain daripada memiliki kombinasi pemain muda dan berpengalaman yang cukup berkualiti dimiliki, Vietnam turut mempunyai senjata rahsia tersendiri.

Senjata rahsia dimaksudkan bukanlah merupakan seorang pemain tetapi individu penting yang bernama Phillipe Troussier.

Troussier yang kini merupakan Ketua Jurulatih Vietnam nyata bukan asing dengan senario bola sepak di negara matahari terbit itu apabila membimbing Jepun selepas Piala Dunia 1998 hingga 2002.

Ini juga bermakna Jepun berjaya menjulang Piala Asia 2000 ketika dibawah kendalian jurulatih kelahiran Perancis ini.

Sehubungan dengan itu, Moriyasu memandang tinggi keupayaan Troussier dan melihat Vietnam mampu memberikan kesukaran buat para pemainnya.

Barisan pemain yang menggalas tanggungjawab Jepun. Kredit Foto: jfa.jp

“Phillipe Troussier amat mengenali bola sepak Jepun dengan sangat baik,” ujar Moriyasu menurut sumber laporan VN Express International.

“Troussier melakukan tugasan dengan cukup baik dalam menggabungkan pemain tonggak berpengalaman dan pemain muda berbakat besar untuk menjadikan Vietnam sebagai sebuah pasukan yang kuat.”

“Saya tidak sabar untuk bertemunya di Piala Asia kerana Jepun menyasarkan untuk menang bertemu Vietnam sekali gus memenangi kejuaraan.”

Membuka tirai saingan bertemu Vietnam pada 14 Januari, Jepun kemudiannya akan berhadapan Iraq (19 Januari) dan Indonesia (24 Januari),

Sebagai rekod, Jepun merupakan pemenang terbanyak kejohanan dengan empat kejuaraan dimenangi iaitu pada 1992, 2000, dan 2011.

Moriyasu berjaya membawa skuad kendaliannya ke pentas final 2019 di Emiriah Arab Bersatu tetapi usaha untuk memenangi kejuaraan kelima digagalkan Qatar 1-3.