Kapten Vietnam, Do Hung Dung percaya kekosongan yang ditinggalkan dua pemain utama, Que Ngoc Hai dan Nguyen Tien Linh mampu diisi pemain muda bagi menghadapi Piala Asia 2023.

Skuad kendalian Phillipe Troussier itu bukan sahaja terpaksa melupakan dua pemain sandaran tersebut malah Doan Van Hau juga lebih awal diketepikan kerana kecederaan yang memaksa beliau menjalani pembedahan dan perlu rehat sekurang-kurangnya enam bulan.

Baca Juga:

Keadaan itu bagaimanapun tidak menggusarkan Hung Dung yang percaya barisan kejurulatihan telah mencari pengganti sesuai dalam usaha membawa cabaran Vietnam.

“Piala Asia adalah satu kejohanan yang sukar. Semua pasukan mengambil serius dan membariskan skuad terbaik. Pasukan Vietnam juga akan bersaing dengan sengit.”

“Walaupun terdapat sebilangan pemain mengalami kecederaan, Troussier dan kakitangan kejurulatihan telah menapis dan memilih pemain terbaik.”

“Kami percaya bahawa pasukan akan beraksi dengan baik selepas pengalaman baru-baru ini,” ujar Dung Hung menurut kenyataannya di laman sesawang rasmi Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF).

“Kekurangan kekuatan dalam pasukan adalah masalah biasa, bukan sahaja buat skuad kebangsaan Vietnam tetapi kepada pasukan lain juga.”

“Apabila peluang beralih kepada seorang pemain lain, ia merupakan peluang kepada pemain lain untuk membuktikan kemampuan diri.”

“Ngoc Hai dan Tien Linh adalah tonggak pasukan, tetapi apabila mereka terpaksa diketepikan kerana kecederaan, peluang akan diberikan kepada pemain muda. Saya percaya mereka akan menyelesaikan misi yang ditinggalkan Ngoc Hai dan Tien Linh,” tambah Hung Dung lagi.

Antara pemain muda yang sudah diberikan peluang beraksi oleh pengendali kelahiran Perancis itu ialah bek kiri, Vo Minh Trong dan pemain tengah, Nguyen Thai Son.

Vietnam telah diundi berada dalam kumpulan D bersama Jepun yang merupakan pemenang terbanyak kejohanan dengan empat kejuaraan.

Dua lagi pasukan ialah Iraq dan Indonesia dimana kedua-dua negara tersebut turut berada dalam satu kumpulan dengan Vietnam dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

 

 

 

Sumber