Myanmar memulakan saingan Piala Asia Futsal 2024 dengan baik apabila berjaya mengikat Vietnam 1-1 pada aksi pembukaan kumpulan A yang berlangsung di Huamark Indoor Stadium, Bangkok sebentar tadi.

Seperti dijangka, Vietnam yang dibimbing pengendali kelahiran Argentina, Diego Giustozzi mempamerkan aksi lebih kemas dengan merencanakan peluang-peluang terbaik menerusi gerakan tersusun sepanjang perlawanan.

Baca Juga:

Namun penjaga gol, Mai Soe Myat Htwe dan barisan pemain Myanmar yang lain cukup kental bertahan bagi menghalang lawan mereka mencipta banyak jaringan dan memfokuskan kepada serangan balas pantas.

Myat Htwe bertindak cemerlang dalam menafikan peluang dijelmakan Pham Doc Hoa dan rakan sepasukannya terutamanya pada babak pertama.

Keadaan tersebut memberikan kesukaran buat Vietnam dan menyaksikan kedua-dua pasukan dari benua Asia Tenggara (ASEAN) itu terikat tanpa jaringan pada 20 minit pertama.

Jaringan pembukaan yang dinantikan hadir pada minit ke-24 selepas Dao Minh Quang melakukan ‘turning’ cantik lalu meledakkan rembatan kaki kiri dari luar kawasan D sekali gus menewaskan Myat Htwe bagi meletakkan Vietnam dihadapan.

Ketika Vietnam menggandakan asakan untuk menambah jaringan, tanpa diduga Myanmar berjaya mendapatkan jaringan penyamaan pada minit ke-29.

Berpunca daripada satu serangan balas pantas menyaksikan penjaga gol Vietnam, Ho Van Y gagal menangkap bola hantaran lintang Wai Zin Oo dengan baik bagi membolehkan Ko Ko Lwin menguis bola masuk ke dalam gawangnya.

Meskipun cuba pemain Vietnam mendakwa terdapat kekasaran dilakukan terhadap Van Y, rujukan Video Support (VS) tetap mengesahkan jaringan tersebut.

Aksi selepas itu memperlihatkan Vietnam meningkatkan intensiti permainan dengan mencipta beberapa peluang untuk menambah jaringan tetapi Myat Htwe cemerlang di gawangnya untuk memastikan satu mata dikongsi kedua-dua pasukan.

Satu lagi aksi kumpulan A bakal menemukan tuan rumah, Thailand yang akan beraksi menentang China pada jam 7.00 malam ini.