Uzbekistan memulakan kempen Piala Asia Futsal 2024 dengan nota kemenangan selepas menundukkan Australia 3-2 pada aksi kumpulan B yang berlangsung di Bangkok Futsal Arena, sebentar tadi.

Menamatkan edisi 2022 di kedudukan ketiga terbaik menyaksikan Uzbekistan mempersembahkan corak permainan cukup meyakinkan sepanjang 40 minit.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Namun, anak buah Venancio Lopez itu tersentak seawal minit kelima berikutan jaringan yang dihasilkan Australia menerusi Wade Giovenali.

Mendapat hantaran Ethan De Melo, Giovenali melakukan ‘turning’ cantik dan kemudiannya melepaskan rembatan padu yang gagal diselamatkan penjaga gol Uzbekistan, Abbos Elmurodov.

Tersentak dengan gol awal tersebut, barisan pemain Uzbekistan yang diketuai Dilshod Rakhmatov tampil dengan lebih garang untuk memburu jaringan penyamaan.

Ketangkasan penjaga gol Australia, Domenic Badolato bagaimanapun menggagalkan usaha Uzbekistan pada babak pertama untuk kedudukan 1-0 memihak skuad kendalian Miles Downie itu.

Mendapat tonik berguna pada waktu rehat, Uzbekistan berjaya menyamakan kedudukan sebaik sahaja babak kedua bersambung hasil jaringan Akbar Usmonov.

Tidak sampai seminit, giliran Rakhmatov pula mencipta jaringan buat Uzbekistan selepas beliau merampas bola daripada kaki Tyler Garner lalu menyudahkan peluang terhidang bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Dua gol tersebut nyata meningkatkan lagi moral barisan pemain Uzbekistan untuk menambah jaringan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-36.

Berpunca daripada lorongan Elbek Tulkinov dalam kawasan D, ia memberikan ruang seluas-luasnya buat Rakhmatov untuk menambah jaringan kedua peribadinya.

Aksi menjadi lebih sengit berselang dua minit kemudian apabila Australia berupaya merapatkan defisit jaringan menerusi Garner yang menyambar hantaran lintang dilakukan Scott Rogan.

Jaringan itu bagaimanapun masih belum mampu untuk menghalang kemenangan pasukan yang pernah bergelar naib juara sebanyak empat kali itu.

Satu lagi aksi kumpulan B bakal menemukan Arab Saudi dan Iraq pada jam 9.00 malam ini waktu Malaysia.