Malaysia gagal mengambil kesempatan mendahului dua gol pada babak pertama apabila tunduk 3-4 kepada Australia pada aksi terakhir peringkat kumpulan Kejuaraan Futsal NSDF 2024 yang berlangsung di Nonthaburi, sebentar tadi.
Dengan keputusan itu, skuad negara akan beraksi di penentuan tempat ke-3/4 yang akan berlangsung 5.30 petang esok.
Baca Juga:
- Futsal NSDF 2024: Malaysia Tewas Tipis Kepada Thailand
- Futsal NSDF 2024: Malaysia Bangkit Ikat Afghanistan 3-3
- VIDEO: Ketenangan Awalluddin ‘Perdayakan’ Dua Pemain Thailand
Malaysia yang memburu kemenangan pertama selepas mencatatkan satu keputusan seri dan satu kekalahan sebelum ini bermula baik dengan percubaan tepat daripada Awalluddin Mat Nawi seawal minit pertama.
Tersentak dengan serangan tersebut, Australia kembali memperkemaskan aksi dengan mencipta beberapa peluang terbaik terutamanya menerusi hantaran lolos yang ‘membelah’ kawasan kiri pintu gol Malaysia.
Namun, Awalluddin dan Abu Haniffa Hassan cemerlang menafikan percubaan lawan di atas garisan gol ketika penjaga gol, Syawal Sabaruddin sedikit keluar dari posisinya.
Syawal juga beberapa kali cemerlang dalam menggagalkan beberapa peluang terbaik dimiliki skuad kendalian Miles Downie itu.
Kem Malaysia melonjak kegembiraan pada minit ke-14 apabila sepakan cuba dilakukan Jamie Dib berjaya dihalang Ridzwan Bakri yang kemudiannya bola bergolek masuk ke gawang Australia.
Syahir Iqbal Khan Akbar Khan menjadikan kedudukan 2-0 berselang dua minit kemudian hasil percubaan dari sebelah kiri pintu gol yang gagal diselamatkan Noah Feilich.
Kelebihan dua gol itu bagaimanapun gagal dipertahankan anak buah Rakphol Sainetngam dimana Australia tampil dengan lebih baik pada babak kedua.
Jaringan sendiri Ahmad Harith Na’im pada minit ke-29 dalam cubaannya untuk menghalang hantaran Dominic Cox dilihat meningkatkan moral Australia.
Dua minit kemudian, mereka berjaya mengikat kedudukan 2-2 hasil jaringan menerusi sepakan percuma dilakukan Adam Cooper yang memaksa Malaysia menggunakan taktikal ‘Powerplay’ untuk memburu gol ketiga.
Taktikal itu nyata memakan diri sendiri selepas kesilapan Saad Sani membolehkan Ethan De Melo melakukan jaringan daripada jarak jauh pada minit ke-38.
Gol tersebut nyata merentapkan fokus barisan pemain negara dimana tidak sampai seminit, Shervin Keshavarz Adeli pula menjadikan kedudukan 4-2.
Awalluddin cuba merapatkan defisit jaringan pada minit ke-40 tetapi masa kian suntuk untuk menghalang kemaraan Australia ke final.