Chelsea mara ke separuh akhir Piala Carabao 2023/24 selepas berjaya menundukkan Newcastle United 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi yang berlangsung di Stamford Bridge, sebentar tadi.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi 90 minit perlawanan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Meskipun tidak berada pada tahap terbaik berbanding Newcastle United dalam saingan liga, Chelsea masih mampu mendominasi sebahagian besar permainan.

Anak buah Mauricio Pochettino itu hampir berada dihadapan seawal minit ketujuh tetapi percubaan ketua pasukan, Conor Gallagher dari luar kawasan penalti sekadar singgah di palang gol.

Ketika Chelsea sedang giat mengatur gerakan, Newcastle mengambil kesempatan susulan kesilapan pemain pertahanan, Benoit Badiashile dalam kawasan penalti yang membolehkan Callum Wilson menyempurnakan peluang bagi memberikan kelebihan buat The Magpies pada minit ke-16.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Chelsea menggandakan asakan ke kubu Newcastle United yang dikawal Martin Dubravka.

Namun, percubaan dari luar kawasan penalti oleh Cole Palmer diselamatkan Dubravka manakala gerakan solo Raheem Sterling yang kemudiannya melakukan percubaan hanya sedikit tersasar.

Jaringan Armando Broja pada minit ke-28 pula dibatalkan kerana beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Kemasukan Malo Gusto bagi menggantikan Levi Colwill pada minit ke-46 jelas telah mengubah corak serangan Chelsea dimana pemain bek sayap itu sering kali melakukan hantaran lintang yang cukup menarik.

Perlawanan ini juga turut menyaksikan Christopher Nkunku membuat penampilan sulungnya selepas dibawa masuk pada minit ke-69 menggantikan Nicolas Jackson.

Ketika Newcastle sudah boleh memikirkan langkah ke peringkat seterusnya, Mykhylo Mudryk menyelamatkan maruah Chelsea dengan jaringan yang dihasilkannya pada minit ke-92.

Gol tersebut berpunca daripada hantaran lintang Gusto yang gagal ditahan baik oleh Kieran Trippier lalu membolehkan Mudryk melakukan percubaan menewaskan Dubravka.

Jaringan yang menyaksikan perlawanan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti untuk mencari pemenang.

Palmer, Gallagher, Nkunku dan Mudryk tidak berdepan masalah menyempurnakan sepakan. Manakala rembatan tersasar oleh Trippier serta sepakan Matt Ritchie yang dibaca dengan baik Djordje Petrovic menyaksikan slot separuh akhir diisi oleh Chelsea.

Kekalahan ini jelas menjadi tamparan hebat buat Newcastle United yang baharu sahaja tersingkir daripada persaingan Eropah kerana berada ditangga terbawah peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Sementara itu dalam dua lagi aksi suku akhir, Fulham menewaskan Everton 7-6 juga menerusi penentuan sepakan penalti manakala Middlesbrough menumpaskan Port Vale 3-0.

Satu lagi aksi yang menemukan Liverpool dan West Ham United akan berlangsung awal pagi esok di Anfield.