Kesemua aksi bagi perlawanan pertama Piala Dunia 2026 sudah berakhir pada tengah hari tadi dimana sembilan daripada pasukan merupakan dari benua Asia.

Enam daripadanya berjaya mencuri tumpuan apabila Korea Selatan dan Australia berhasil meraih kemenangan manakala Jepun, Qatar, Arab Saudi serta Iran mencatatkan keputusan seri.

Sorotan Cerita Wakil Asia Pada Aksi Pertama Piala Dunia 2026
Kredit Foto: Frederic J. Brown / AFP

Wakil Asia Mampu Hadap Pemain Ternama Dunia

Walaupun Iraq, Jordan dan Uzbekistan tewas pada aksi sulung, kemampuan menjaringkan gol berdepan lawan yang memiliki barisan pemain berkelas dunia turut wajar dipuji.

Satu keadaan yang memberikan gambaran jelas pasukan dari Asia mampu untuk memberikan saingan kepada lawan masing-masing.

Korea Selatan membuka kempen Kumpulan A dengan kemenangan 2-1 ke atas Republik Czech hasil jaringan Hwang In-beom dan Oh Hyeon-gyu manakala Australia mengejutkan Turkiye 2-0 dalam aksi Kumpulan D menerusi gol yang disumbangkan Nestory Irankuda dan Conner Metcalfe.

Jepun dan Iran menikmati skrip yang hampir sama selepas bangkit daripada ketinggalan sebanyak dua kali untuk mengutip satu mata.

Sorotan Cerita Wakil Asia Pada Aksi Pertama Piala Dunia 2026
Kredit Foto: PATRICIA DE MELO MOREIRA / AFP

Jepun tampil dengan semangat penuh melawan untuk mengikat finalis edisi 1974, 1978 dan 2010 iaitu Belanda dengan keputusan 2-2.

Iran pula yang menghadapi pelbagai dugaan sebelum turun beraksi bangkit untuk terikat 2-2 ketika berhadapan dengan New Zealand.

Qatar memerlukan hingga minit keempat masa kecederaan babak kedua untuk mengikat Switzerland 1-1 manakala kelebihan dimiliki Arab Saudi menerusi gol Abdulelah Al-Amri (minit ke-41) dipadamkan Maximiliano Araujo pada minit ke-80 untuk berkongsi mata dengan Uruguay.

Sementara itu, Iraq tewas 1-4 kepada Norway, Jordan tumbang 1-3 ditangan Austria dan Uzbekistan kendalian Fabio Cannavaro juga tewas 1-3 kepada Colombia.