Guadalajara yang dijadualkan menjadi tuan rumah empat perlawanan Piala Dunia 2026 bertukar menjadi huru-hara.

Hal ini kerana pihak berkuasa persekutuan Mexico mengesahkan kematian Nemesio Oseguera Cervantes atau lebih dikenali sebagai ‘El Mencho’,  yang didakwa merupakan ketua Jalisco New Generation Cartel (CJNG).

Dianggap sebagai antara pengedar dadah paling dikehendaki oleh Drug Enforcement Administration (DEA) Amerika Syarikat, ganjaran sebanyak AS$15 juta bakal diberikan kepada sesiapa yang dapat memburu El Mencho.

Menurut sumber laporan Marca, kesan susulan berlaku serta-merta apabila sekatan jalan raya dibakar, sistem pengangkutan terganggu dan amaran khas dikeluarkan oleh kerajaan Amerika Syarikat serta Kanada.

Penduduk melaporkan kedengaran bunyi tembakan serta suasana huru-hara di Lapangan Terbang Antarabangsa Guadalajara, apabila penumpang dilihat berlari dan bersembunyi ketika asap kelihatan naik dari landasan.

Pihak berkuasa menggantung perkhidmatan pengangkutan awam dan menggesa penduduk serta pelancong supaya kekal berada di dalam bangunan.

Pelawat yang terkandas turut memuat naik rakaman di media sosial, memaparkan bumbung hotel yang dipenuhi orang ramai serta jalan raya berselerak dengan sisa kenderaan yang dibakar.

Pegawai dari Liga MX dan Liga de Expansion MX turut merasai kesan segera insiden keganasan pada Ahad lalu.

Perlawanan yang dijadualkan, termasuk aksi berprofil tinggi liga wanita antara Chivas dan Club America, serta satu perlawanan kejohanan Expansion, telah ditangguhkan ‘berikutan situasi di bandar tersebut’, menurut kenyataan liga.

CJNG yang diasaskan pada 2009, secara meluas dianggap sebagai antara organisasi jenayah paling ganas di Mexico. Amerika Syarikat secara rasmi mengklasifikasikannya sebagai kumpulan pengganas dan mengaitkannya dengan penyeludupan kokain, heroin, methamphetamine serta fentanyl.

Keselamatan Piala Dunia 2026 Jadi Tumpuan

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pihak berkuasa Mexico telah melabur besar dalam sistem pengawasan, pemantauan udara dan rondaan di darat khususnya di sekitar Guadalajara.

Malah sebelum tercetusnya keganasan, persiapan termasuk pemasangan ribuan kamera pengawasan serta penggunaan teknologi anti-dron bagi mengekang ancaman ketika acara penyokong dan hari perlawanan.

Namun insiden terbaharu ini kembali mencetuskan persoalan sama ada langkah keselamatan tersebut mencukupi.

Menurut laporan media tempatan, kekacauan itu menimbulkan persoalan terhadap jaminan yang boleh ditawarkan oleh jawatankuasa penganjur menjelang Piala Dunia 2026.

Pihak berkuasa turut mengaktifkan ‘amaran merah’ di beberapa kawasan perbandaran dan menggesa orang ramai mengelakkan pergerakan susulan kebimbangan keselamatan.

Guadalajara kekal sebagai venue penting bagi Piala Dunia 2026. Antara perlawanan yang dijadual berlangsung di bandar itu ialah Korea Selatan menentang pemenang playoff UEFA (11 Jun), Mexico menentang Korea Selatan (18 Jun), Colombia menentang pemenang playoff antara benua (23 Jun) serta Uruguay menentang Sepanyol (26 Jun).

Keselamatan di semua venue Piala Dunia 2026 kini dipertingkatkan, dengan pelan perlindungan menyeluruh bagi memastikan keselamatan pemain, penyokong dan penduduk menjelang kejohanan tersebut.

Kematian El Mencho menyerlahkan cabaran berterusan yang dihadapi pihak berkuasa Mexico dalam memerangi jenayah terancang serta potensi tindak balas agresif daripada kartel.

Buat masa ini, penduduk dan pelawat di Guadalajara serta negeri-negeri sekitarnya masih berada dalam keadaan berjaga-jaga tinggi sementara pihak berkuasa berusaha memulihkan kestabilan.

Sumber