Piala Dunia 2026 menghimpunkan bintang-bintang terbesar bola sepak antarabangsa dengan para pemain mewakili banyak kelab terbaik dunia.

Selepas tamat saingan peringkat kumpulan, Real Madrid dan Paris Saint-Germain (PSG) muncul sebagai kelab yang pemain-pemainnya telah menjaringkan gol terbanyak dalam kejohanan itu.

Mereka mendahului senarai tersebut, yang turut menampilkan kelab-kelab seperti Crystal Palace, Sunderland dan Inter Miami.

Piala Dunia 2026

1) Real Madrid – 11 Gol 

Apabila gol dikumpulkan mengikut gabungan kelab, Real Madrid kini berada di tangga teratas dengan 11 gol.

Sebahagian besar daripada jumlah itu disumbangkan oleh Kylian Mbappe dan Vinicius Jr yang masing-masing menjaringkan empat gol.

Dua gol lagi disumbangkan Jude Bellingham manakala satu gol oleh Arda Guler.

 2) Paris Saint-Germain (PSG) – 10 Gol 

PSG pula berada di tempat kedua dengan Ousmane Dembele yang mencipta hatrik ketika menentang Norway, sekali gus menjadikan jumlah jaringannya dalam kejohanan itu meningkat kepada empat gol.

Manakala Bradley Barcola, Ibrahim Mbaye, Joao Neves, Nuno Mendes, Achraf Hakimi dan Desire Doue mencipta satu jaringan.

3) Crystal Palace – 7 Gol

Crystal Palace pula telah mengumpul tujuh gol yang dijaringkan oleh tiga pemain berbeza dalam Piala Dunia 2026.

Ismaila Sarr menjaringkan tiga gol buat Senegal, manakala Daichi Kamada menyumbang dua gol untuk Jepun dan Daniel Muñoz turut meledak dua gol bagi Colombia.

Jumlah tersebut menyerlahkan peningkatan reputasi Crystal Palace di pentas antarabangsa selepas dua musim yang penuh bersejarah.

3) Sunderland – 7 Gol 

Sunderland yang menyamai jumlah tujuh gol Crystal Palace boleh dianggap sebagai kejutan terbesar dalam kejohanan ini dari sudut sumbangan kelab.

Kembali ke English Premier League selepas lapan tahun tersisih, The Black Cats menamatkan musim 2025-26 di tangga ketujuh dan pantas mengukuhkan kedudukan mereka di pentas antarabangsa.

Brian Brobbey menjadi penyumbang utama dengan tiga gol buat Belanda, manakala Granit Xhaka (Switzerland), Habib Diarra (Senegal), Wilson Isidor (Haiti) dan Nilson Angulo (Ecuador) masing-masing turut mencatat nama sebagai penjaring.

Secara keseluruhan, pemain-pemain Sunderland telah menghasilkan tujuh gol menerusi sumbangan lima pemain.

5) Inter Miami – 6 Gol 

Walaupun mempunyai bilangan wakil ke Piala Dunia yang lebih sedikit berbanding banyak kelab gergasi Eropah, Inter Miami tetap berada dalam kelompok kelab paling prolifik dari segi jaringan dalam kempen kali ini hasil sentuhan Lionel Messi.

Kapten Argentina itu telah pun menjaringkan enam gol pada Piala Dunia 2026, sekali gus menyumbang kesemua enam gol yang dikumpulkan oleh pemain-pemain Inter Miami dalam kejohanan ini.

6) Arsenal  – 5 Gol

Sumbangan jaringan Arsenal hadir menerusi Kai Havertz yang menjaringkan dua gol untuk Jerman dan Leandro Trossard, yang turut meledak dua gol buat Belgium.

Seorang lagi pemain The Gunners, Viktor Gyokeres, turut menyumbang jaringan bersama Sweden.

7) Bayern Munich – 5 Gol

Lima jaringan pemain kelab gergasi Jerman ini terhasil dalam Piala Dunia 2026 adalah menerusi tiga gol Harry Kane buat England serta satu gol masing-masing oleh Jamal Musiala (Jerman) dan Luis Diaz (Colombia)

8) Newcastle United – 5 Gol

Newcastle United berada dalam kelompok ini hasil sumbangan Yoane Wissa menjaringkan tiga gol untuk DR Congo serta Anthony Elanga yang meledak dua gol buat Sweden.