Dengan aksi Piala Dunia 2026 semakin menghampiri, persaingan untuk merebut enam tiket terakhir untuk ke saingan paling berprestij itu semakin sengit.
Kini, selepas berjaya melepasi pusingan awal Play-Off Eropah dan Play-Off Antara Benua, 12 pasukan semakin terasa bahangnya menjelang aksi final yang dijadualkan berlangsung pada 31 Mac nanti.
Itali yang gagal melayakkan diri pada edisi 2022 menempah slot ke final selepas menewaskan Ireland Utara 2-0 hasil sumbangan jaringan Sandro Tonali dan Moise Kean pada babak kedua.
Menanti mereka nanti ialah Bosnia and Herzegovina yang menundukkan Wales 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi masa sebenar berkesudahan 1-1.
Kelebihan sedikit dimiliki Bosnia apabila bakal beraksi menentang Itali di laman sendiri.
Sweden dan Poland bakal membuat perhitungan di Nationalarenan, Stockholm selepas skuad kendalian Graham Potter itu menewaskan Ukraine 3-1 hasil jaringan hatrik Viktor Gyokeres.

Poland pula mara selepas mengatasi Albania 2-1 menerusi jaringan Robert Lewandowski dan Piotr Zielinski.
Final bagi laluan C pula bakal menampilkan pertembungan Kosovo bertemu Turkiye di Pristina. Kosovo menang 4-3 ke atas Slovakia manakala Turki pula mengecewakan Romanis menerusi jaringan tunggal Ferdi Kadioglu.
Sementara itu slot final terakhir untuk ke Piala Dunia 2026 diisi Republik Czech dan Denmark.
Czech terpaksa menghadapi penentuan sepakan penalti sebelum menundukkan Ireland 4-3 manakala Denmark cemerlang membelasah Macedonia 4-0.
Bagi saingan Play-Off Antara Benua pula, Jamaica menumpaskan New Caledonia untuk bertemu DR Congo pada aksi final.
Bolivia pula menewaskan Suriname 2-1 sekali gus menempah pertemuan menentang wakil Asia, Iraq.
DR Congo dan Iraq tidak perlu beraksi pada pusingan awal kerana mereka merupakan pasukan ‘seeded’ dalam undian pusingan ini.
Saingan Piala Dunia 2026 telah membuka lembaran baharu menjadi edisi terbesar dalam sejarah penganjurannya dengan penyertaan 48 pasukan bagi mengisi 12 kumpulan.
Senarai Pasukan Layak Ke Final Play-Off Piala Dunia 2026
Play-Off Eropah
1) Bosnia and Herzegovina
2) Itali
3) Sweden
4) Poland
5) Kosovo
6) Turkiye
7) Republik Czech
8) Denmark
Play-Off Antara Dunia
1) Jamaica
2) DR Congo
3) Bolivia
4) Iraq