Aksi kedua peringkat kumpulan dalam kempen Piala Dunia 2026 berakhir sebentar tadi selepas Colombia berjaya menundukkan DR Congo hasil jaringan kemenangan oleh Daniel Munoz pada minit ke-76.
Kemenangan kedua yang dilakarkan Colombia itu sekali gus membawa skuad kendalian Nestor Lorenzo ke pusingan 32.
Dengan format 48 pasukan yang diperkenalkan buat julung kalinya pada Piala Dunia 2026, dua pasukan teratas dalam setiap 12 kumpulan, bersama lapan pasukan tempat ketiga terbaik akan mara ke peringkat kalah mati.
Selain itu, buat pertama kali dalam sejarah Piala Dunia, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggunakan rekod pertemuan sesama sendiri (head-to-head) sebagai penentu utama kedudukan bagi pasukan yang terikat mata, menggantikan perbezaan gol dalam Piala Dunia 2026.
Berikut merupakan senarai pasukan yang sudah mengesahkan kemaraan ke pusingan 32 Piala Dunia 2026 selepas berakhirnya dua perlawanan peringkat kumpulan:

Pusingan 32 Piala Dunia 2026
1) Mexico (Kumpulan A)
Tuan rumah bersama merupakan pasukan pertama yang layak ke peringkat kalah mati selepas menjuarai kumpulan A dengan kemenangan 1-0 ke atas Korea Selatan pada Khamis, 18 Jun.
Mexico memulakan kempen mereka dengan kemenangan 2-0 ke atas Afrika Selatan dalam perlawanan pembukaan kejohanan yang penuh dengan suasana kelam-kabut dan dramatik.
2) Amerika Syarikat (Kumpulan D)
Amerika Syarikat kemudiannya mengikuti jejak langkah Mexico yang mengesahkan tempat ke pusingan 32 hasil kemenangan 2-0 ke atas Australia yang meletakkan mereka di tangga teratas Kumpulan D pada Jumaat, 19 Jun.
Skuad kendalian Mauricio Pochettino itu memulakan kempen mereka dengan kemenangan besar 4-1 ke atas Paraguay.
3) Jerman (Kumpulan E)
Jerman menjadi pasukan ketiga yang layak ke pusingan 32 terakhir selepas menewaskan Ivory Coast 2-1 pada Sabtu lalu.
Pasukan Jerman yang gagal melepasi peringkat kumpulan di Rusia 2018 dan juga empat tahun lalu di Qatar memulakan kejohanan dengan kemenangan besar 7-1 ke atas Curacao.
4) Argentina (Kumpulan J)
Argentina mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati dengan kemenangan 2-0 ke atas Austria kelmarin apabila Lionel Messi menjaringkan dua gol, sekali gus menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia dengan 18 gol.
Kapten Argentina itu juga mencatat hatrik pertamanya dalam kejohanan ini ketika membantu pasukannya menang 3-0 ke atas Algeria dalam perlawanan pembukaan.
Argentina turut dijamin menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan J.
5) Perancis (Kumpulan I)
Perancis yang dianggap antara pilihan utama sebelum kejohanan bermula mengesahkan tempat ke pusingan 32 terakhir dengan kemenangan 3-0 ke atas Iraq pada hari yang sama dengan kejayaan Argentina.
Kylian Mbappe menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut. Juara dunia 2018 itu sebelum ini menewaskan Senegal 3-1 dalam aksi pembukaan mereka, dengan Mbappe turut menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut.

6) Norway (Kumpulan I)
Norway menewaskan Senegal 3-2 dalam perlawanan kedua mereka untuk mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.
Norway yang kembali beraksi di Piala Dunia selepas 28 tahun, memulakan kempen mereka dengan kemenangan besar 4-1 ke atas Iraq.
7) Colombia (Kumpulan K)
Colombia menjadi pasukan terakhir yang mengesahkan tempat ke pusingan 32 selepas berakhirnya perlawanan kedua bagi setiap kumpulan.
Menang 1-0 ke atas DR Congo mengesahkan tempat buat wakil Amerika Selatan itu yang terdahulu menundukkan Uzbekistan 3-1 pada aksi pembukaan.