Aksi kemas pada babak kedua membantu skuad hoki lima sebelah (5s) Malaysia mara ke separuh akhir Piala Dunia Hoki 5s 2024 selepas berjaya menundukkan Trinidad and Tobago 5-4 pada aksi yang berlangsung di Muscat, Oman sebentar tadi.

Kemenangan itu hadir dengan cukup dramatik apabila skuad negara bangkit tiga kali daripada ketinggalan pada separuh masa pertama.

Baca Juga:

Anak buah Wallace Tan itu tersentak pada minit keenam apabila ledakan padu Akim Troussaint gagal diselamatkan penjaga gol negara, Che Shahrul Azmi Che Saupi.

Ketua pasukan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook kembali menyamakan kedudukan berselang tiga minit kemudian hasil tolakan mudah setelah menerima hantaran Abid Sufian Mat Ruslee.

Mickell Pierre kembali meletakkan Trinidad and Tobago dihadapan pada minit ke-10 yang kemudiannya disamakan oleh Malaysia menerusi Luqman Nur Hakim Ahmad Shukran, dua minit kemudian.

Gerakan solo dilakukan Tariq Marcano ketika aksi memasuki minit ke-14 disudahkan dengan pukulan kilas yang menewaskan Che Shahrul Azmi untuk gol ketiga lawan.

Kegembiraan itu hanya bertahan tiga minit selepas Abid Sufian menolak masuk bola ketika Mickell gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Aksi lebih berdisiplin ditampilkan pemain negara pada babak kedua terutamanya di jentera pertahanan yang cukup kental menyerap tekanan lawan. Che Shahrul Azmi juga bertindak cemerlang dalam menafikan percubaan ‘penalty challenge’ Marcano.

Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin memberikan jaringan pendahuluan buat skuad negara pada minit ke-22 dan tiga minit kemudian, Syarman Mat Tee pula melebarkan kedudukan 5-3.

Jaringan Marcano pada lewat aksi sudah terlambat untuk menghalang kemaraan skuad Malaysia yang akan membuat perhitungan dengan Poland pada aksi separuh akhir Piala Dunia Hoki 5s 2024 awal pagi esok.