Malaysia gagal melangkah ke suku akhir Piala Dunia Hoki Remaja 2023 selepas tewas pada aksi terakhir peringkat kumpulan ditangan Australia di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Ketika hanya kemenangan bakal membawa anak buah Amin Rahim itu ke peringkat seterusnya, Australia jelas tidak mahu ia dapat direaliasikan.
Baca Juga:
- Piala Dunia Hoki Remaja 2023: Malaysia Akur Kehebatan Argentina
- Piala Dunia Remaja 2023: Malaysia Bermula Baik Belasah Chile
- Empat Acara Besar Berlangsung, Bukit Jalil Dijangka Sesak Teruk Jumaat Ini
Keadaan itu jelas dibuktikan selepas wakil dari Oceania itu memberikan tekanan hebat ke arah kubu skuad negara sebaik sahaja permainan dimulakan.
Malah, Australia yang dibimbing Jay Stacy turut mendapat tujuh pukulan sudut penalti pada suku pertama.
Pukulan sudut penalti kedua yang diterima Australia berjaya menghasilkan gol pada minit kedua menerusi Burns Cooper untuk membuka tirai jaringan.
Empat minit kemudian kesilapan Alfarico Riau yang cuba untuk membawa bola ke atas dipatahkan oleh Diarmid Chappell lalu beliau melorongkan bola ke dalam kawasan penalti bagi membolehkan Jake Lambeth menyempurnakan peluang terhidang.
Kesilapan mudah dalam memberikan pukulan sudut penalti kepada lawan terus dihukum Australia hasil jaringan ketiga diledakkan oleh Cambell Geddes pada minit ke-14.
Ketinggalan dengan tiga gol menyaksikan barisan pemain negara memperkemaskan aksi pada suku kedua dengan dua pukulan sudut penalti dimiliki tetapi masih belum mampu menghasilkan jaringan.
Gol yang dinantikan skuad negara hadir pada minit ke-24 selepas Harris Osman menolak masuk bola hantaran jauh dilakukan Azmilmuizzuddin Misron untuk mengurangkan defisit jaringan.
Kegembiraan kem Malaysia itu bagaimanapun hanya mampu bertahan selama tiga minit setelah Lambeth menjaringkan gol keempat buat Australia.
Malaysia terlepas peluang untuk mendapat jaringan kedua selepas pukulan sudut penalti Malaysia pada minit ke-40 yang disempurnakan oleh Mughni Kamal dibatalkan oleh pengadil setelah melihat rujukan ‘Video Support’.
Kehampaan itu ditebus berselang empat minit kemudian apabila hantaran jauh Wan Muhammad Najmie ditolak dengan kemas Shafiq Ikhmal Daniel.
Skrip sama berlaku sekali lagi dengan Geddes menambah jaringan kelima hanya seminit kemudian untuk keputusan 5-2 yang kekal hingga tamat permainan.
Keputusan itu sekali gus membawa Australia ke suku akhir untuk mengiringi Argentina manakala Malaysia pula akan beraksi di peringkat klasifikasi.