Skuad hoki Malaysia bangkit daripada kekalahan kepada Pakistan tempoh hari selepas berjaya membelasah Kanada 6-2 dalam aksi kedua Piala Sultan Azlan Shah 2024 di Ipoh, malam tadi.

Kemenangan sulung yang dirakamkan itu meletakkan anak buah Sarjit Singh itu dikedudukan ketiga dengan tiga mata selepas mengharungi dua perlawanan.

Baca Juga:

Pakistan berada ditangga teratas dengan kelebihan perbezaan jaringan meskipun terikat enam mata bersama Jepun.

Skuad negara tersentak pada minit ke-12 perlawanan selepas Devohn Noronha Teixeira menghasilkan jaringan padang untuk meletakkan Kanada dihadapan.

Kelebihan Kanada itu tidak bertahan lama selepas ketua pasukan, Fitri Saari kembali menyamakan kedudukan hanya berselang seminit kemudian.

Peledak berbisa, Azrai Aizad Abu Kamal pantas memberikan kelebihan buat Malaysia pada minit ke-14 hasil gerakan solo yang disudahkan dengan tenang olehnya untuk gol kedua skuad negara.

Memasuki minit ke-19 giliran pemain muda, Azimuddin Syakir Kamaruddin pula mencetak nama selaku penjaring menerusi gol padang setelah beliau menolak masuk bola hantaran Muhajir Rauf.

Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi menjadikan kedudukan 4-1 pada minit ke-35 dan kemudiannya Kanada merapatkan defisit jaringan menerusi Teixeira ketika aksi memasuki minit ke-42.

Enggan memberikan ruang buat Kanada untuk terus bangkit, Syed Syafiq Syed Cholan dan Faizal Saari memastikan kemenangan 6-2 menjadi milik Malaysia hasil jaringan pada minit ke-48 dan 49.

Skuad negara akan turun beraksi pada perlawanan ketiga jam 8.30 malam esok bertemu New Zealand yang turut mengumpul tiga mata hasil satu kemenangan dan satu kekalahan.