Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengakui kecewa dengan keputusan Selangor FC (SFC) untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Mei susulan beberapa isu dan insiden yang berlaku baru-baru ini.

Menurut kenyataan rasmi, JDT berharap SFC mempertimbangkan semula keputusan itu kerana Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Johor memberi jaminan keselamatan pasukan, pemain dan penyokong serta akan menggandakan kehadiran dengan 1,500 anggota.

Baca Juga:

“Kami sememangnya mengutuk keras insiden yang melibatkan Faisal Halim dan juga ancaman yang diterima oleh beberapa individu di Selangor FC tetapi kami berharap agar Selangor FC dapat mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak hadir dari perlawanan ini kerana ianya boleh menetapkan ‘precedent’ untuk mana-mana pasukan menarik diri kerana berasakan tidak selamat meskipun mendapat jaminan daripada Polis DiRaja Malaysia.

“Kami pernah diserang dalam keadaan yang ‘hostile’ di Pahang, Perak dan Kelantan sebelum ini tetapi kami masih ke gelanggang lawan dan bermain dalam perlawanan yang dikawal ketat pihak polis.

“Selangor tidak pernah diserang di Stadium Sultan Ibrahim. Malahan pasukan dan penyokong mereka dikawal oleh polis ke dalam stadium dan sehingga ke bas dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.

“Meksipun kejadian baru-baru ini yang menimpa Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim membimbangkan, kita perlu meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa bukan hanya untuk menyiasat kes-kes ini tetapi juga untuk menjaga keselamatan dan memastikan musim bola sepak 2024-25 berjalan lancar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards.

Sebelum ini, Malaysian Football League (MFL) dalam satu kenyataan telah menolak permohonan Selangor untuk menangguhkan perlawanan tersebut ekoran kejadian tidak diingini yang menimpa Faisal Halim.