Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa semua 23 sukarelawan Malaysia yang sebelum ini ditahan oleh rejim Zionis Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza telah dibebaskan sepenuhnya.

Dalam satu kenyataan siaran langsung di laman Facebook rasminya sebentar tadi, Anwar memaklumkan bahawa kumpulan aktivis berkenaan akan dibawa ke Lapangan Terbang Ramon di Israel pada petang ini sebelum berlepas ke Istanbul, Turkiye sebagai transit utama sebelum pulang ke Malaysia.

Misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang disertai aktivis dari pelbagai negara itu dilancarkan bagi membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, namun konvoi tersebut dihalang dan para sukarelawan termasuk dari Malaysia turut ditahan oleh pihak berkuasa Israel.

Keadaan itu pastinya tidak akan dibiarkan oleh Kerajaan Malaysia dan pengumuman terbaharu daripada perdana menteri itu amat melegakan.

Sukarelawan Malaysia Menuju Ke Istanbul

“Semalam saya umumkan langkah-langkah terakhir untuk membebaskan 23 rakyat Malaysia daripada rejim kejam Israel dan Alhamdulillah sebentar tadi selepas mendapat persetujuan Presiden [Reccep Tayyib] Erdogan Turkiye melalui Ketua Pengarah Majlis Keselematan beliau, Dr Ibrahim Kalin sedang menguruskan melalui kerjasama penuh kerajaan Turkiye.”

“Semalam saya juga sebut langkah ini adalah langkah menyusul rundingan diplomatik yang agak panjang termasuk Kementerian Luar dan Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan sendiri dengan Setiausaha Negara (Amerika Syarikat), Marco Rubio dan Kerajaan Jordan.”

“[Perbincangan] Saudara Saifuddin Nasution, Menteri Dalam Negeri dengan Steve Witkoff, wakil khas Presiden Trump dan saya sendiri dengan Emir Qatar (Tamim bin Hamad Al Thani) dan Perdana Menteri Qatar (Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim bin Jaber Al Thani) serta Presiden dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Turkiye.”

“Sampai sekarang nampak sudah capai persetujuan, semalam tiga daripada rakyat Malaysia yang agak keberatan untuk menandatangani arahan pengusiran dari Israel tapi pendapat kita adalah untuk mereka bersetuju.”

“Dan kita bincang juga dengan Ketua Pengarah Sumud Nusantara untuk mengajak semua pulang dan kita susun strategi berikutnya.”

“Alhamdulillah 23 aktivis sekarang menuju ke Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel dengan pesawat khas dari Turkiye untuk membawa mereka ke Istanbul,” tambah beliau lagi.

Menurutnya lagi, barisan sukarelawan tersebut akan berada di Istanbul dahulu untuk pemeriksaan kesihatan dan dijangka pulang esok malam atau Selasa ini.