Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil dengan kejutan manis apabila mengumumkan dana sebanyak RM1 juta akan diperuntukkan kepada Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).

Perkara itu diumumkan sendiri oleh Anwar ketika berucap dalam Majlis Sambutan Jubli Emas KLFA yang turut menjadi pentas pelancaran logo dan jersi baharu KL City FC di Bangsar, malam tadi.

Baca Juga:

Apa yang menarik, dana tersebut diumumkan walaupun tiada permintaan dibuat oleh pihak KLFA.

KLFA
Kredit Foto: Facebook Anwar Ibrahim

Hadiah Buat KLFA

“Ini satu-satunya acara yang saya hadiri di mana tiada orang meminta dana (merujuk kepada KLFA).”

“Jadi saya ucapkan terima kasih dan walaupun tidak memohon (dana), saya berikan RM1 juta,” ujar beliau menurut sumber laporan BH Online.

Beliau turut menegaskan bahawa sokongan ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengangkat kembali martabat bola sepak tanah air, bermula dari akar umbi.

“Ini satu kesempatan bagi kita mengangkat martabat bola sepak tanah air , tetapi ia bermula daripada asas.”

“Sebab itu, apa yang diutarakan tadi tentang kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi atau institut-institut latihan yang lain, itu penting.

KLFA
Kredit Foto: Kredit Foto: Facebook Anwar Ibrahim

“Ia bukan sekadar soal dana semata-mata, tetapi juga meliputi kemudahan padang, pusat latihan serta akademi yang lengkap supaya anak-anak dapat dilatih dengan baik dan selesa.”

Tambahnya lagi, pembangunan bola sepak tidak harus tertumpu pada soal dana semata-mata, tetapi juga harus meliputi aspek kemudahan padang, pusat latihan dan akademi lengkap yang memberi ruang kepada bakat muda untuk berkembang dengan lebih baik.

Suntikan dana ini dijangka memberi nafas baharu kepada KLFA dalam menyusun semula struktur pembangunan bola sepak di ibu kota dalam misi kembali menjadi kuasa besar bola sepak tanah air.