Unit Forensik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menemui lapan kesan cap jari di lokasi kejadian simbah asid membabitkan pemain kebangsaan, Faisal Halim.
Bagaimanapun, daripada lapan cap jari yang dianalisa itu hanya tiga cap jari sahaja cukup sifatnya menurut kenyataan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Baca Juga:
- Ini Rahsia Bangsa Cina Simpan Duit Yang Semua Orang Boleh Ikut
- Mengapa Pengguna CIMB Tidak Perlu Panik Dengan Servis DuitNow
- Jangan Ulang 5 Kesilapan Kewangan Orang Malaysia Selalu Buat
Namun begitu, semakan di dalam sistem pangkalan data mendapati tidak timbul padanan dengan cap jari cukup sifat itu.
“Hal ini mungkin kerana individu terbabit tidak pernah ditahan dan tidak memiliki rekod kesalahan lampau.
“Polis sudah mengedarkan fotofit atau lakaran wajah dipercayai suspek terbabit serangan asid itu dan meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan individu berkenaan diminta tampil bagi membantu mengesan suspek yang menyerang pemain kebangsaan itu,” kata Razarudin memetik laporan dalam Harian Metro.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar pusat beli belah mendapati suspek ada menyentuh beberapa kawasan atau tempat sehingga meninggalkan cap jari.
Menurut lakaran fotofit yang diedarkan baru-baru ini, suspek dianggarkan berusia 30-an, berketinggian 165 sentimeter (cm), tubuh bersaiz sederhana dan kulit sawo matang.
Orang ramai boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan Undang-undang (D5), Inspektor Jagachandaran Murugesen di talian 0125848166 atay 0322666071 jika mempunyai maklumat.
Dalam kejadian 5 Mei lalu, Faisal cedera disimbah asid ketika berada di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya. Dua lelaki bermotosikal dikatakan menghampirinya sebelum bertindak menyimbah asid.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC (SFC), Dr Johan Kamal Hamidon mendedahkan Faisal Halim sebenarnya disimbah asid sulfurik pekat sehingga melecur ke tahap empat.
Asid sulfurik (sulphuric acid) pekat, H2SO4, ialah cecair yang tak berwarna tetapi sangat berbahaya kerana sangat mengkakis (corrosive) dan mengakibatkan kulit melepuh dan melecur. Kesannya sangat teruk jika terkena kulit.