Ruben Amorim menegaskan bahawa beliau tidak akan sesekali menukar formasi walaupun didesak oleh sesiapa sahaja, termasuk pope sekalipun.
Pengurus Manchester United itu terus mempertahankan formasi 3-4-3 yang diterapkannya sejak awal, meskipun ramai pihak termasuk legenda kelab mendesak agar beliau beralih kepada sistem empat pertahanan.
Menurut pandangan pengkritik, barisan pemain United ketika ini tidak sesuai untuk bermain dalam sistem wing-back.
Namun minggu lalu, Amorim memberi amaran tegas: “Jika INEOS mahu saya menukar formasi, sila tukar pengurus.”
Beliau menjelaskan bahawa pihak INEOS sebenarnya tidak pernah mendesaknya menukar formasi, cuma kenyataan itu dibuat sebagai perbandingan.
Dalam sidang media terbaru menjelang aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini, Amorim sekali lagi berkeras mempertahankan sistem pilihannya itu.
Amorim berkata: “Tidak, tidak, tiada sesiapa boleh memujuk saya menukar formasi, tidak Pope sekalipun.
“Ini adalah kerja dan tanggungjawab saya. Ini adalah hidup saya, dan saya tidak akan mengubahnya. Namun saya bersedia untuk menukar sistem apabila tiba masanya, kerana akan ada evolusi.
“Tetapi sebelum itu, kita perlu atur langkah dengan betul. Dan saya ingin beritahu, jika saya seorang pemain bermain di bawah pengurus yang tunduk kepada tekanan — seluruh dunia mendesaknya menukar sistem — dan dia menurutinya, maka pemain itu akan memandang serong ke atas saya.
“Saya sedang melakukan tugas dengan cara saya. Orang lain mungkin melakukannya dengan cara berbeza. Namun keadaan pasti akan berubah, jadi saya berharap ada masa yang cukup untuk saya mengubah keadaan,” jelas Amorim sambil ketawa kecil.
Ruben Amorim says not even the Pope could persuade him to change his controversial formation 🤔❌ pic.twitter.com/IEF67xfaHe
— Match of the Day (@BBCMOTD) September 19, 2025
Ruben Amorim jelas dalam tekanan untuk memperbaiki prestasi Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Manchester United akan bertemu Chelsea pada awal pagi esok waktu Malaysia – dalam usaha United bangkit selepas kekalahan dalam derbi Manchester baru baru ini.