Presiden CONMEBOL, Alejandro Domínguez mencetuskan kejutan apabila mendakwa Piala Dunia 2030 akan menyaksikan penyertaan sebanyak 64 pasukan.

Menerusi hantaran di media sosial X, Domínguez menyifatkan sambutan ulang tahun ke-100 Piala Dunia sebagai peluang besar untuk dunia bola sepak.

“Pada 2030, Piala Dunia akan kembali ke Uruguay, Argentina dan Paraguay. Ini adalah peluang besar untuk bola sepak, bagi meraikan ulang tahun Piala Dunia yang ke-100 dengan kejohanan 64 pasukan,” tulisnya.

Bagaimanapun, kenyataan itu masih belum mendapat pengesahan rasmi daripada FIFA.

Piala Dunia 2030 sebenarnya akan dianjurkan bersama oleh Sepanyol, Portugal dan Maghribi.

Namun, sebagai sebahagian daripada sambutan centenary, tiga perlawanan pembukaan akan berlangsung di Uruguay, Argentina dan Paraguay — negara yang mempunyai kaitan sejarah dengan edisi pertama Piala Dunia pada 1930.

Idea memperbesarkan Piala Dunia kepada 64 pasukan mula menjadi perhatian selepas Presiden FIFA, Gianni Infantino mengesahkan bahawa badan induk bola sepak dunia itu akan mengkaji cadangan tersebut selepas Piala Dunia 2026.

“Ini adalah isu yang pasti akan dikaji dan dibincangkan dalam jawatankuasa berkaitan selepas Piala Dunia ini,” kata Infantino.

Menurutnya, Piala Dunia perlu menjadi pentas untuk seluruh dunia, bukan hanya Eropah dan Amerika Selatan.

“Setiap negara perlu mempunyai impian untuk beraksi di Piala Dunia. Kita dapat lihat kualiti pasukan semakin tinggi di seluruh dunia,” jelasnya.

Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico menjadi edisi pertama menggunakan format 48 pasukan, meningkat daripada 32 pasukan yang digunakan sejak 1998 hingga 2022.

Jika format 64 pasukan diperkenalkan, jumlah perlawanan akan meningkat kepada 128 perlawanan, iaitu lebih dua kali ganda berbanding format 32 pasukan.

Persoalannya kini, adakah Piala Dunia ke-100 pada 2030 bakal menjadi kejohanan paling besar dalam sejarah bola sepak dunia?