Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung berang melihat skuad Taeguk Warriors gagal melepasi peringkat kumpulan saingan Piala Dunia 2026.
Menang 2-1 pada aksi pembukaan bertemu Republik Czech, Korea kemudiannya tewas 0-1 di tangan Mexico dan Afrika Selatan yang memaksa mereka melupakan peringkat kalah mati.
Sehubungan dengan prestasi buruk itu, Jae Myung tanpa berselindung mengakui terdapat amalan pilih kasih dalam pelantikan, selain mengkritik keras jurulatih Hong Myung-bo serta menuntut siasatan yang diketuai Kementerian Sukan terhadap prestasi pasukan kebangsaan.
Presiden Korea Selatan Naik Angin
“Saya bukan sahaja terkejut dengan keputusan yang tidak dijangka ini, malah saya benar-benar bingung,” ujar Jae Myung menurut sumber laporan Reuters.
“Sekali lagi, terbukti bahawa keputusan berkaitan pelantikan individu adalah segalanya. Apabila pendekatan ‘kami lawan mereka’ diutamakan berbanding kecekapan dan individu yang tidak kompeten dipilih sebagai pemimpin, hasilnya sudah jelas seperti yang dijangka.”
Pelantikan semula Hong Myung Bo sebagai pengurus pasukan kebangsaan pada 2024 sebelum ini sudah pun mencetuskan dakwaan pilih kasih serta proses pelantikan yang tidak telus daripada media Korea Selatan, namun semua tuduhan itu telah dinafikan oleh beliau.
“Punca mengapa pelantikan yang bermasalah seperti ini yang gagal membezakan antara kepentingan awam dan peribadi serta mengutamakan keuntungan peribadi berbanding kebaikan umum, boleh berlaku adalah kerana sukar untuk memantau, menyemak dan memastikan mereka yang mempunyai kuasa pelantikan dipertanggungjawabkan.”
“Kegagalan untuk layak… yang telah menyebabkan orang ramai berasa kecewa, nampaknya berpunca daripada kegagalan organisasi dan juga aspek pelantikan.”
“Saya meminta Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap keadaan sebenar insiden ini, menganalisis puncanya, serta merangka langkah-langkah bagi mengelakkan ia berulang dan memastikan penambahbaikan,” tambah beliau lagi.