Seorang bekas menteri sukan Arab Saudi mendakwa Cristiano Ronaldo merupakan satu-satunya pemain asing dalam saingan Liga Pro Saudi (SPL) yang berbaloi dengan gaji diterima.

Putera Abdullah bin Mosaad memuji kemampuan luar biasa Ronaldo dalam membawa pendedahan global cukup ketara kepada liga tersebut.

Baca Juga:

Cristiano Ronaldo seperti diketahui telah melanjutkan tempoh ‘menginap’ di negara itu apabila menandatangani kontrak baharu selama dua tahun bersama Al-Nassr pada musim panas ini.

Bin Mosaad pernah menjawat jawatan menteri sukan negara itu antara 2014 dan 2017 sebelum pentadbiran Mohamed Bin Salman mula membuat pelaburan besar dalam projek sukan termasuk dalam kancah SPL.

Pendapat Putera Abdullah Tentang Cristiano Ronaldo

“Ronaldo merupakan satu-satunya pemain asing yang berbaloi dengan gajinya kerana pendedahan global yang dibawanya kepada liga dan negara,” ujar Bin Mosaad menurut sumber laporan Goal.

“Ramai yang lain dibayar jauh lebih tinggi daripada yang sepatutnya.”

“Ketokohan antarabangsa yang dibawa oleh Ronaldo tiada tandingan. Beliau merupakan satu-satunya pemain asing yang impaknya sepadan dengan tahap gajinya.”

“Tiada seorang pun yang melakukan perkara itu untuk liga,” tambahnya lagi.

Kata-kata Putera Abdullah mencerminkan hakikat bahawa Ronaldo lebih daripada sekadar seorang pemain bola sepak di Arab Saudi.

Pemain berusia 40 tahun itu merupakan ikon sukan dan duta bagi Liga Pro Saudi (SPL) serta usaha negara itu dalam mengejar kecemerlangan sukan secara menyeluruh.

Tahap penajaan dan pendapatan komersial yang dibawa oleh penyerang Portugal itu ke negara ini sukar ditandingi dan di atas semua itu, beliau terus menunjukkan prestasi di padang yang setimpal dengan gaji diterimanya.

Pada usia tersebut, Ronaldo masih tangkas dengan 11 gol daripada 12 penampilan pada musim ini.

 

Sumber