Rupa sebenar keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kembali menjadi buah mulut para penyokong bola sepak tempatan menjelang perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Oman.

Hal ini kerana terdapat rakaman dron di laman YouTube yang memaparkan kawasan sekitar venue berkenaan sekaligus menampakkan keadaan padang yang cukup teruk selepas dilanyak konsert Ed Sheeran pada 24 Februari lepas.

Baca Juga:

Menurut pemilik akaun YouTube tersebut, rakaman dron itu diambil pada 12 Mac 2024 iaitu 15 hari sebelum aksi Malaysia menentang Oman pada 26 Mac 2024.

Ianya sekaligus mengundang pelbagai kecaman dalam kalangan penyokong mengenai persediaan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk memastikan padang berada dalam keadaan terbaik sebelum perlawanan bermula.

Peminat bola sepak tempatan juga meluahkan kebimbangan sama ada akar rumput jenis Zeon Zoysia itu sempat mencengkam tanah dalam tempoh 2 minggu selepas tarikh rakaman dron itu.

Namun, pemilik akaun YouTube berkenaan sedia menerbangkan dron sekali lagi pada hari esok atau lusa untuk meninjau keadaan terkini padang SNBJ.

PSM sebelum ini memberi jaminan padang akan pulih lebih cantik pada hari perlawanan dan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon turut menyatakan kekecewaannya selepas melawat SNBJ.

Konsert Coldplay pernah meninggalkan kesan yang buruk terhadap permukaan padang dimana terdapat bahagian rumput yang tercabut dan tidak rata ketika digunakan bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu.

Adakah padang SNBJ akan berubah dalam keadaan yang lebih baik atau semakin teruk? Sama-sama kita saksikan pada 26 Mac ini.