Sebanyak 72 peratus rakyat Malaysia memilih untuk menutup sempadan dan menolak kehadiran pelarian. Niat mereka untuk datang ke Malaysia mencari suaka diragui serta akan memberi kesan kepada ekonomi, lapor tinjauan oleh firma penyelidikan pasaran antarabangsa.

Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Ipsos bertajuk “Sikap global terhadap pelarian” menunjukkan peningkatan sebanyak 7 peratus ke atas responden yang menolak pelarian dan percaya kehadiran mereka adalah disebabkan ekonomi dan perkhidmatan kebajikan.

Baca Juga:

“Rakyat Malaysia menentang penerimaan pelarian ke negara ini. Sikap terhadap pelarian menjadi kurang positif di peringkat global dan di Malaysia sejak 2022. Ramai rakyat Malaysia melihat pelarian sebagai oportunis ekonomi yang tidak menyumbang kepada pembangunan negara,” kata pengarah urusan Ipsos Malaysia Arun Menon.

Responden juga curiga bahawa kebanyakan pelarian tiba dengan alasan palsu, dan meragui integrasi dan sumbangan pelarian kepada negara tuan rumah. Ini dapat dilihat apabila 62 peratus responden tidak bersetuju bahawa pelarian memberi sumbangan positif kepada negara.

Pada nota yang sama, rakyat Malaysia juga melahirkan kebimbangan mengenai tahap jenayah, penyakit dan kebersihan yang semakin teruk akibat pelarian yang tinggal di kawasan mereka. Menurut tinjauan, 56 peratus rakyat Malaysia bimbang jenayah mungkin meningkat, manakala 54 peratus bimbang tentang penularan penyakit berjangkit dan kebersihan kawasan setempat masing-masing.

Tambah laporan itu lagi, Malaysia dan Turki menjadi negara yang majoritinya menyokong pengusiran pelarian sedia ada dan menghalang kemasukan mana-mana pelarian baharu. Berdasarkan tinjauan itu, 52 peratus rakyat Malaysia berkata pelarian perlu dihantar pulang dan tidak dibenarkan lagi manakala di Turki, 59 peratus bersetuju dengan itu.

“Penduduk Turki dan Malaysia telah menyatakan pendapat yang paling kuat, dengan lebih separuh daripada mereka mahu menghantar pulang pelarian semasa dan tidak menerima apa-apa lagi. Negara-negara ini tidak melihat sebarang alasan yang kukuh untuk menerima lebih ramai pelarian, sama ada sebab kemanusiaan, undang-undang atau ekonomi,” kata Arun.

Ipsos berkata tinjauan dalam taliannya dijalankan dalam kalangan 21,816 orang dewasa berumur 18 hingga 74 tahun di 29 negara antara 22 April dan 6 Mei.

Sumber