Sebanyak 13.1 juta rakyat Malaysia telah melakukan transaksi di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95) dengan nilai perbelanjaan mencecah RM2.66 bilion dalam bulan pertama pelaksanaannya, iaitu dari 30 September hingga 31 Oktober.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa jumlah tersebut melibatkan pembelian sebanyak 1.33 bilion liter petrol RON95 bersubsidi, dengan jumlah subsidi kerajaan dianggarkan sekitar RM800 juta bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat, petik The Edge Malaysia.
Baca Juga:
- Grab Malaysia Minta Maaf Tindakan Pemandu Minta Kad Pengenalan Dan Lesen Penumpang Untuk Beli BUDI95

- ‘Naikkan Kuota BUDI95, Buka Banyak Ruang Ketirisan’ – Ketua Setiausaha Perbendaharaan Jelaskan Sebabnya

- Tular Video Pekerja Marah Tak Dapat BUDI95, Syarikat Kurier Tampil Mohon Maaf

“Ini termasuk lebih 23,000 nelayan dan pengguna bot berdaftar yang tidak memiliki lesen memandu aktif, khususnya di Sabah dan Sarawak,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pelaksanaan BUDI95 memastikan rakyat Malaysia menikmati manfaat subsidi secara langsung tanpa proses yang rumit, di samping membolehkan kerajaan mengagihkan semula penjimatan itu kepada pembangunan serta kebajikan rakyat.
“Jelas sekali, program ini memberikan pelbagai manfaat kepada rakyat dan negara,” tambah beliau dalam kenyataan itu.
MOF turut menjelaskan bahawa sejak pelaksanaan BUDI95, seramai 16.55 juta rakyat Malaysia layak menikmati harga RON95 bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter, berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi, sekali gus melebihi unjuran asal seramai 15 juta orang.