Selangor FC (SFC) hari ini mengumumkan kemasukan pemain import baharu dari Croatia iaitu Nikola Jambor setelah Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) beliau telah diluluskan.

Pemain yang berusia 28 tahun itu akan memperkuatkan jentera tengah Gergasi Merah untuk mengharungi saingan Liga Malaysia bagi musim 2024/2025.

Baca Juga:

Lebih mesra dengan panggilan Niko, memulakan karier profesional beliau sejak usianya 19 tahun bersama NK Koprivnica, kelab di negara kelahirannya, Croatia.

Sepanjang beraksi di tanah kelahiran, kelab paling banyak Niko beraksi adalah bersama Slaven Belupo Koprivnica dalam 66 perlawanan sepanjang dua musim. Antara pencapaian terbaik beliau bersama kelab tersebut adalah tempat kedua dalam saingan Croatian Cup 2015/16.

Beliau pernah berkelana di beberapa negara sepanjang karier seperti Belgium, Portugal dan Arab Saudi. Rio Ave FC, kelab di Portugal, merupakan kelab paling banyak beliau beraksi iaitu sebanyak 51 perlawanan dari tahun 2018 hingga 2021.

Selain itu, beliau juga berjaya membuat 27 penampilan bersama Hajer FC sepanjang satu musim di Arab Saudi. Pengalaman luas yang beliau miliki dilihat mampu memberi suntikan yang berharga kepada pasukan dalam meneruskan saingan Liga Malaysia dan ACL2 2024/25.

Menurut Niko, beliau tidak fikir panjang untuk ke kem Selangor FC selepas mendengar tawaran tersebut daripada ejennya.

“Saya ada menerima panggilan daripada ejen saya mengenai tawaran yang telah menarik perhatian penuh saya. Rancangan pihak kelab telah disusun dan sejajar dengan objektif serta misi saya, menjadikannya sukar untuk ditolak kerana saya benar-benar teruja untuk bersama keluarga baru ini dan bekerjasama ke arah matlamat yang sama,” ujar beliau.