Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Mosin Abdul Razak menyatakan restoran mamak kini merasai kesan tekanan ekonomi global dengan kenaikan harga barangan tertentu antara 10% hingga 30% yang menjejaskan kos operasi.

Memetik Free Malaysia Today, perkara ini berpunca daripada gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos logistik, serta ketidaktentuan ekonomi global yang berpanjangan, yang diburukkan lagi oleh peperangan Iran.

Baca Juga:

Beliau menyatakan bahawa kenaikan harga tersebut merangkumi bahan mentah seperti ayam, sayur-sayuran, dan bahan import tertentu, sehinggalah kepada barangan seperti pembungkusan dan gas memasak.

“Peningkatan ini berbeza-beza mengikut barangan tetapi secara purata adalah antara 10% dan 30%. Kami mula melihat trend ini pada pertengahan tahun lepas, dan ia berterusan sehingga kini. Kami menjangkakan kenaikan harga akan terus berlaku berdasarkan landskap geopolitik semasa,” katanya kepada FMT.

Walau bagaimanapun, Mosin berkata kebanyakan pengusaha cuba mengekalkan harga sedia ada dan menyerap kos tambahan tersebut dengan mengoptimumkan operasi serta mengurangkan pembaziran bagi mengelakkan bebanan kepada pelanggan.

Beliau juga memaklumkan bahawa mereka telah mula mencari pembekal alternatif yang menawarkan harga lebih berpatutan.

“Namun begitu, sekiranya tekanan harga ini berterusan, pelarasan harga yang minimum mungkin tidak dapat dielakkan.”

Beliau menzahirkan harapan agar kerajaan dapat memperkenalkan mekanisme untuk menstabilkan harga bahan mentah serta menyediakan insentif bagi sektor makanan dan minuman (F&B).

Mosin turut menyarankan agar agensi berkaitan berusaha memperkukuh rantaian bekalan domestik sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada barangan import.