Bekas pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand meluahkan kekecewaan terhadap prestasi The Red Devils selepas mereka dibelasah 1-4 oleh Como dalam aksi UEFA Champions League (UCL) 2026/27 yang berlangsung awal pagi tadi.
Menerusi satu hantaran di Facebook peribadi miliknya, Ferdinand menyifatkan persembahan Manchester United begitu mengecewakan sehingga kelab itu kelihatan seperti sebuah pasukan yang hanya bertuah kerana mendapat peluang beraksi dalam saingan UCL.
Rio Ferdinand Kritik Aksi Longlai Man Utd
Beliau turut memberikan pujian kepada pengendali Como, Cesc Fabregas atas kejayaan membentuk pasukan yang mampu mempamerkan permainan tersusun dan berkesan.
“Cesc Fabregas dan Como membuatkan kami kelihatan seperti pasukan yang memenangi cabutan bertuah untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara.”
“Ada kalanya, Como kelihatan seperti mempunyai 12 pemain di atas padang. Kami langsung tidak mengancam di bahagian serangan. Pasukan ini tidak mempunyai kekuatan untuk berlari.”’
“Tidak mampu memberikan tekanan kepada Como. Tiada corak permainan yang jelas ketika menguasai bola.”
Ferdinand turut mengakui bahawa Como layak menerima pujian atas pendekatan taktikal yang diterapkan Fabregas, termasuk keupayaannya memastikan setiap pemain memahami peranan masing-masing ketika pasukan menguasai bola mahupun ketika bertahan.
“Banyak pujian harus diberikan kepada Cesc atas cara dia membina pasukan ini, selain kejayaannya menerapkan idea permainan ke dalam pasukannya.”
“Setiap pemain tahu tugas masing-masing dan memahami peranan yang perlu dimainkan, sama ada ketika menguasai bola mahupun ketika bertahan.”
“Mereka tetap berani menghantar bola kepada rakan sepasukan walaupun berada di bawah tekanan. Itu contoh yang sangat baik tentang kepercayaan antara satu sama lain.”
Bagaimanapun, bekas pemain antarabangsa England itu menegaskan bahawa kehebatan Como bukan alasan untuk Manchester United mempamerkan aksi hambar dalam perlawanan tersebut.
Beliau berpandangan bahawa pasukan itu kini kelihatan kehilangan keyakinan dan masih mempunyai banyak perkara yang perlu diperbaiki, selain dibelenggu masalah kecederaan pemain.
“Namun, itu bukan alasan untuk kami. Kami beraksi dengan buruk malam ini dan ketika ini, pasukan kelihatan langsung tidak mempunyai keyakinan.”
“Banyak perkara perlu dilakukan untuk mengubah keadaan ini… dan saya belum pun menyentuh soal kecederaan pemain!” tambah beliau lagi.