Dari tahun 1999 hingga 2017, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pernah menjadi salah satu litar kebanggaan yang menghiasi kalendar Formula 1 (F1), sebelum perlumbaan berprestij itu digugurkan dari negara kita.
Kini, timbul perbualan mengenai usaha membawa pulang acara sukan pemotoran nombor satu dunia ini. Namun, untuk menjadikannya satu realiti secara kekal, ia memerlukan komitmen kewangan yang cukup besar.
Kos Pelaburan vs Potensi Pulangan Emas

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif mendedahkan bahawa Malaysia perlu melabur sekurang-kurangnya RM300 juta setiap tahun jika mahu mengesahkan slot kekal dalam kalendar F1.
Dana ini bukan sekadar bayaran biasa kerana ia meliputi yuran hak penganjuran yang dianggarkan sekitar AS\$70 juta hingga AS\$80 juta (bersamaan RM289 juta hingga RM340 juta), selain kos untuk memastikan persiapan litar menepati spesifikasi ketat penganjur.
Biarpun kosnya kedengaran amat tinggi, potensi pulangan kepada ekonomi negara sebenarnya jauh lebih lumayan. Berkongsi pandangannya, Azhan menjelaskan:
“Anggaran saya tidak kurang daripada RM300 juta. Itu adalah kosnya. Namun, kita juga perlu melihat kepada pulangan keseluruhan,” jelas beliau.
“Berdasarkan data yang saya lihat, kebanyakan negara penganjur menjana pulangan sekurang-kurangnya tiga kali ganda daripada jumlah yang mereka belanjakan. Pendek kata, jika kita berbelanja RM300 juta, potensi pulangan kepada negara boleh mencecah RM1 bilion,” tambahnya lagi dengan penuh optimis.
Realiti Semasa dan Keutamaan Kerajaan
Di sebalik potensi keuntungan ekonomi tersebut, terdapat dua halangan besar yang perlu diselesaikan: kemampuan untuk membayar yuran tersebut serta kekosongan slot dalam kalendar tahunan F1 yang sangat kompetitif.
Namun, dalam keadaan ekonomi masa kini, pihak kerajaan perlu membuat perkiraan yang lebih teliti. Menjawab mengenai hal ini, Azhan secara jujur berkata:
“Fokus utama kerajaan pada masa ini bukanlah untuk berbelanja bagi acara antarabangsa, tetapi untuk membantu rakyat yang berdepan cabaran ekonomi dan kos sara hidup. Mungkin pada masa hadapan, berdasarkan data yang kita peroleh daripada penganjuran acara ini, ia boleh dijadikan titik tolak untuk sebarang keputusan.”
Beliau turut menekankan cabaran teknikal dari pihak pengurusan ‘F1, “Faktor lain adalah kekosongan slot pada kalendar F1 itu sendiri.
Jika tiada slot, ia tidak akan berlaku. Jadi, dua kriteria utama adalah mempunyai dana untuk membayar yuran hak penganjuran dan mempunyai slot yang kosong pada kalendar.”
Langkah Pertama: Ujian Menerusi Acara ‘One-Off’
Sebagai permulaan dan platform ujian, Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada acara *Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix* yang akan diadakan di Sepang dari 2 hingga 4 Oktober.
Penganjuran ini merupakan sebuah acara ‘one-off’ atau acara sekali sahaja, dan pihak SIC memberikan fokus sepenuhnya bagi memastikan kelancarannya.
“Untuk masa ini, fokus kami adalah untuk menjayakan acara ini dengan cemerlang. Kami sedang bekerjasama dengan Bahrain dan Formula 1 untuk acara ‘one-off’ ini,” kata Azhan.
Menurut beliau, sekiranya acara ini berjaya, ia mungkin mampu mengembalikan semula keyakinan pelbagai pihak berkepentingan termasuk kerajaan Malaysia, kerajaan Bahrain, dan pengurusan Formula 1 sendiri untuk mempertimbangkan penganjuran berskala lebih besar di masa hadapan.