Pasukan Selangor menandatangani penyerang dari Chile, Ronnie Fernandez sekaligus menjadi penggempur utama bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

Kehadiran Ronnie ini diumumkan oleh pasukan menerusi laman media sosial rasmi dimana pemain berusia 32 tahun itu bakal menggantikan Ayron Del Valle yang meninggalkan pasukan.

Baca Juga:

Kelab terakhir Ronnie adalah bersama pasukan Bolivia, Bolivar La Paz dan beliau telah menjaringkan 18 gol daripada 26 perlawanan.

Dia juga membantu pasukan itu menjuarai Copa de la Division Profesional dan meraih tempat kedua dalam Primera Division 2023.

Ronnie Fernandez juga pernah menyarung jersi negara kelahirannya, Chile dalam kelayakan Piala Dunia bagi benua Amerika Selatan menentang Uruguay dan Brazil pada bulan Mac 2022.

Musim 2024/25 akan menjadi musim pertama Ronnie beraksi di Malaysia dan beliau teruja untuk mengharungi pengembaraan baharu bersama Selangor.

“Ini kali pertama saya datang ke Asia Tenggara. Saya sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada Selangor. Apa yang saya tahu tentang kelab besar ini adalah sejarah hebatnya dan peminat yang bersemangat menyokong pasukan.

“Saya akan memberikan yang terbaik untuk membantu pasukan mengharungi musim terbaik 2024/2025 dalam Liga Malaysia dan ACL 2,” kata Ronnie.

Ketua jurulatih pasukan, Tan Cheng Hoe berpendapat Ronnie akan membantu meningkatkan kualiti di bahagian serangan musim ini.

“Ronnie mampu menjaringkan gol terutamanya di bahagian dalam kotak. Dia mempunyai pengalaman bermain di beberapa negara sebagai ‘target man’ dalam kerjayanya, ini akan melonjakkan kekuatan pasukan.

“Saya harap Ronnie cepat menyesuaikan diri dengan pemain dan menyelesaikan masalah di kawasan serangan musim lalu,” katanya.