Peminat sukan permotoran tanah air kini boleh menyaksikan aksi kejohanan Formula 1 (F1) secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Menerusi pengumuman rasmi di akaun TikTok rasmi RTM Malaysia Official, pihak RTM mengesahkan penyiaran acara Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2026.
Liputan komprehensif ini dibawakan dengan kerjasama beIN SPORTS, merangkumi kesemua sesi latihan bebas, peringkat kelayakan, hingga ke perlumbaan kemuncak pada hari Ahad.

Penonton boleh menikmati tayangan ini di saluran TV Okey (MYTV CH110 / Astro CH146) serta penstriman percuma menerusi aplikasi RTMKlik.
Kembalinya perlumbaan Formula 1 (F1) ke PETRONAS Sepang International Circuit (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober 2026 menandakan lipatan sejarah baharu selepas kali terakhir dianjurkan pada tahun 2017.
Acara Pusingan 16 ini membawa nama unik Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 berikutan pemindahan lokasi dari Litar Antarabangsa Bahrain atas faktor keselamatan dan ketidakstabilan di rantau Asia Barat, hasil kesepakatan bersama antara pihak F1, FIA, Kerajaan Bahrain, dan Kerajaan Malaysia.
Penganjuran semula sukan permotoran berprestij tinggi ini mendapat sokongan padu daripada Kerajaan Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi merancakkan sektor pelancongan, perhotelan, serta ekonomi tempatan.
Bagi membolehkan lebih ramai peminat tempatan hadir ke litar, tawaran harga tiket bersubsidi khas untuk pemegang MyKad dibukakan bermula seawal RM200 bagi pas tiga hari, menjadikannya antara tiket perlumbaan F1 paling mampu milik dalam kalendar 2026.