Bagi peminat bola sepak tempatan, platform RTMKlik sememangnya menjadi ‘penyelamat’ untuk menyaksikan aksi Piala Dunia 2026 secara penstriman langsung.

Bagaimanapun, bagi mereka yang berada di luar negara dan cuba menggunakan talian Virtual Private Network (VPN) untuk mengakses siaran ini, dikabarkan bahawa cubaan tersebut mungkin akan sia-sia.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengesahkan telah menubuhkan satu pasukan khas dan sistem pemantauan intensif bagi menyekat sebarang cubaan akses dari luar negara melalui platform RTMKlik, termasuklah penggunaan VPN.

Patuh Hak Penyiaran FIFA

Menurut Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail, langkah ketat ini diambil bagi mematuhi perjanjian hak penyiaran yang telah ditetapkan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), petik Malay Mail.

“Kami secara konsisten melaksanakan sekatan geografi (geoblocking) yang merupakan sebahagian daripada perjanjian kami dengan FIFA. Pasukan teknikal kami memantau situasi ini 24 jam sehari, dan penambahbaikan pada sistem sokongan (backend) RTMKlik dilakukan secara berkala,” katanya selepas menjadi tetamu dalam rancangan ‘The Nation with Jessy Chahal’ di Wisma Bernama.

Jelas beliau lagi, langkah ini bukan sahaja untuk melindungi hak penyiaran, malah penting bagi memastikan kestabilan platform digital tersebut dan menjamin kelancaran siaran buat penonton tempatan sepanjang kejohanan berlangsung.

RM26.2 Juta Untuk Semua 104 Perlawanan

Berbeza dengan edisi-edisi sebelum ini, edisi 2026 menyaksikan penawaran yang jauh lebih berbaloi buat rakyat Malaysia. Kerajaan berjaya mendapatkan hak penyiaran untuk kesemua 104 perlawanan dengan peruntukan sebanyak RM26.2 juta.

Sebagai perbandingan, pada edisi 2022 yang lalu, pihak kerajaan membelanjakan RM33 juta namun hanya untuk 41 perlawanan sahaja. Bagi edisi kali ini, RTM membawakan:

– 94 perlawanan secara siaran langsung (live).

– 10 perlawanan secara siaran tertunda.

“Sudah tentu kami boleh lakukan yang lebih baik. Ini adalah pengalaman baharu buat RTM selepas lebih 20 tahun mengendalikan siaran Piala Dunia.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf jika ada kekurangan kecil, memandangkan RTM berada di barisan hadapan dalam mengendalikan siaran kesemua 104 perlawanan kali ini,” tambah Ashwad.

RTMKlik Catat Jutaan Tontonan

Setakat ini, penstriman digital RTMKlik menerima sambutan yang sangat luar biasa daripada rakyat Malaysia dengan mencatatkan purata 1.5 hingga 2.5 juta tontonan bagi setiap perlawanan.

Bagaimanapun, data menyeluruh hanya akan diumumkan selepas kejohanan berprestij itu melabuhkan tirainya kelak.

Jadi buat rakyat Malaysia di tanah air, anda boleh terus menikmati siaran berkualiti tinggi ini secara stabil dan sah menerusi RTM serta rakan penyiar rasmi, Unifi TV.

Sumber