Pengurus Manchester United, Ruben Amorim mengakui bahawa beliau ‘meniru’ idea ketika situasi bola mati dari lawan-lawannya di Liga Perdana Inggeris selepas kemenangan Manchester United 2-1 ke atas Crystal Palace malam tadi.

Kedua-dua gol separuh masa kedua yang dijaringkan The Red Devils menerusi Joshua Zirkzee dan Mason Mount datang daripada sepakan percuma diambil Bruno Fernandes.

Turun selaku pasukan pelawat, United ketinggalan pada minit ke-36 selepas Jean-Phillipe Mateta menyempurnakan sepakan penalti.

Bangkit daripada ketinggalan, anak-anak buah Amorim menyamakan kedudukan pada minit ke-54 menerusi Zirkzee dan Mount muncul wira dengan gol kemenangan ketika aksi memasuki minit ke-63.

Melihatkan kepada dua gol yang diperoleh menerusi situasi bola mati, pengendali kelahiran Portugal itu tanpa berselindung mengakui telah mengambil idea pasukan-pasukan dalam saingan English Premier League (EPL).

Komen Amorim Tentang Kemenangan Ke Atas Crystal Palace

“Kami mempunyai lebih banyak masa untuk bekerja. Kami bekerja keras dan belajar banyak di England. Kami ‘meniru’ banyak perkara untuk menjaringkan gol [dalam situasi bola mati],” ujar beliau menurut sumber laporan Goal.

“Kami perlu faham bahawa lawan keletihan pada separuh masa kedua. Apabila anda meningkatkan tempo dan lawan dibolosi gol dengan segera, kami dapat mengawal perlawanan.”

“Dalam 10 minit terakhir separuh masa pertama, saya rasa lawan sedang menghadapi kesukaran dan mereka akan terus sukar pada separuh masa kedua.”

“Kami merasakan bahawa kami perlu melakukan sesuatu untuk mengubah cara kami bermain.”

“Kami cuba menukar sedikit perkara dalam perlawanan. Tetapi intensiti dan kualiti dalam cara kami berhubung terutamanya Zirkzee, lebih baik dan itu sangat meningkatkan cara kami bermain,” tambah Ruben Amorim lagi.

Sumber