Ruben Amorim nekad tidak akan mengubah falsafah dan pendekatannya di Man United.

Manchester United tewas 3-0 kepada seteru sebenar, Manchester City, dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang berlangsung penuh tekanan buat Amorim.

Namun Ruben Amorim tampil dengan nada tegas dan penuh keyakinan selepas perlawanan tersebut.

Amorim akan kekalkan gaya permainan United

Amorim menegaskan bahawa beliau tidak akan sekali-kali mengubah falsafah permainan yang diterapkannya sejak awal musim ini dan pertengahan musim lalu.

Dia berkata: “Saya tidak akan tukar pendekatan saya. Jika INEOS mahu lihat kami bermain dengan cara berbeza, maka mereka kena tukar pengurusnya.

“Saya tidak akan ubah gaya permainan saya,” jelas Amorim dengan penuh keyakinan.

Walaupun mempertahankan falsafahnya, Amorim tidak menolak realiti bahawa keputusan yang diraih ketika ini masih jauh dari tahap sebenar Manchester United.

Beliau mengakui prestasi kelab setakat ini bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.

“Ini bukan rekod yang sepatutnya dimiliki oleh Manchester United. Saya terima hakikat itu,” katanya lagi selepas kekalahan memalukan itu.

Amorim tetap memuji pemain pemainnya yang menurutnya telah menunjukkan peningkatan.

Amorim menambah: “Kami bermain dengan lebih baik berbanding beberapa minggu lalu, tetapi ia masih tidak diterjemahkan kepada kemenangan.”

Amorim menjelaskan bahawa dia adalah lebih terluka berbanding peminat United pada masa ini.

“Saya menderita lebih daripada penyokong kerana saya benar-benar peduli dengan kelab ini. Tetapi saya akan terus melakukan segala yang mampu untuk Manchester United,” tegasnya.