Pengurus Manchester United, Ruben Amorim mengakui tidak risau sekiranya dipecat oleh Manchester United selepas kelab tersebut jatuh ke kedudukan terburuk dalam carta English Premier League (EPL) dalam tempoh 51 tahun.
Berdepan Tottenham Hotspur yang turut sedang mengalami penurunan prestasi, Manchester United mengalami kekalahan ke-12 dalam kempen liga musim ini.

Baca Juga:
- ‘Ini Skuad Paling Teruk Dalam Sejarah Kelab’ – Ruben Amorim
- Ruben Amorim: Memang Memalukan Jadi Pengurus Manchester United Yang Alami Banyak Kekalahan
- Amorim Akui Kedudukannya Dalam Bahaya, Janji Perbaiki Prestasi Manchester United
Keadaan yang menyaksikan Red Devils berada di kedudukan ke-15 dengan hanya mengumpul 29 mata hasil lapan kemenangan, lima keputusan seri dan 12 kekalahan.
Lebih perit untuk diperkatakan, United pada ketika ini hanya 12 mata meninggalkan dua pasukan yang berada di zon penyingkiran iaitu Ipswich Town dan Leicester City.
Ini merupakan kali pertama Manchester United tewas 12 perlawanan pada 25 aksi dalam satu musim dimana kali terakhir berlaku dalam musim 1973/74. Pada ketika itu, United terjatuh daripada saingan utama.

Melihatkan kepada risiko berkemungkinan akan dipecat ekoran prestasi terlalu buruk itu, Amorim dilihat tenang dan tidak menghiraukan tekanan tersebut.
“Saya tidak risau. Saya faham apa yang difikirkan oleh peminat kami, apa yang media fikirkan tentangnya,” ujar beliau menurut sumber laporan Goal.
“Saya benci kepada kekalahan, perasaan itu adalah yang paling teruk. Selain itu, saya tidak memikirkan apa-apa. Saya di sini untuk membantu pemain-pemain saya.”
“Saya faham situasi saya, pekerjaan saya, saya yakin dengan kerja saya dan saya hanya mahu menang perlawanan. Kedudukan dalam carta liga adalah kebimbangan saya, saya tidak risau tentang diri saya.”
Cabaran seterusnya buat Ruben Amorim dan Manchester United
Aksi seterusnya yang bakal dilalui anak-anak buah Ruben Amorim ialah berdepan Everton di Goodison Park pada Sabtu nanti.
Everton jelas bukan lawan mudah buat United kerana pasukan tersebut dilihat sudah mula mendapatkan rentak terbaik sejak kembali dibimbing oleh Davis Moyes.